top of page

Cadangan lesen perniagaan PBT untuk tiga tahun wajar dipertimbangkan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read
David Cheong sewaktu berbahas di Dewan Negeri Selangor
David Cheong sewaktu berbahas di Dewan Negeri Selangor

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young mencadangkan agar Kerajaan Selangor mempertimbangkan pembaharuan lesen perniagaan sehingga tiga tahun bagi sektor berisiko rendah dalam usaha mengurangkan beban birokrasi ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT).


Beliau berkata, pada ketika ini, kebanyakan lesen perniagaan perlu diperbaharui setiap tahun dan bagi perniagaan yang telah lama beroperasi dan sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen, proses pembaharuan tahunan sebenarnya memerlukan masa serta sumber pentadbiran yang besar, sama ada di pihak peniaga mahupun pihak berkuasa tempatan.


"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri memberi pilihan kepada pemegang lesen yang layak untuk memperbaharui lesen mereka bagi tempoh satu tahun, dua atau maksimum tiga tahun. Cadangan ini adalah bersifat pilihan dan bukannya mandatori.


"Cadangan ini bukan memperkenalkan satu kewajipan baharu, sebaliknya memberikan lebih banyak pilihan kepada para peniaga mengikut keperluan masing-masing.


"Pada masa ini, PKS berdepan dengan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos operasi, ketidaktentuan ekonomi global, kekurangan tenaga kerja, persaingan daripada perniagaan haram serta kerenah birokrasi yang masih membebankan.


"Justeru, Kerajaan Negeri wajar terus memperkukuh dasar-dasar sedia ada demi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mesra, cekap dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut David Cheong lagi, jika hanya sekitar 30 hingga 40% pemegang lesen memilih pembaharuan lesen selama tiga tahun, seperti kilang, institusi kewangan, syarikat utiliti dan syarikat-syarikat yang telah lama beroperasi, ia sudah memadai untuk mengurangkan kesesakan urusan di kaunter PBT setiap tahun.


Langkah itu juga ujarnya selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan pendigitalan perkhidmatan awam, mengurangkan kerenah birokrasi serta memperkasakan amalan tadbir urus yang baik.


"Cadangan ini juga bertepatan dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Selangor dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, telus dan berdaya saing, di samping memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama negara.


"Hakikatnya, PKS bukan sekadar mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Apa yang lebih mereka perlukan ialah sebuah sistem pentadbiran yang lebih cekap, telus, adil dan mesra perniagaan," kata beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page