Cadangan kenaikan cukai pintu di Alor Star dibantah ribuan pemilik premis
- Suara Keadilan
- 38 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ura-ura kenaikan kadar cukai taksiran (cukai pintu) sehingga 200% di Alor Star, Kedah terus mengundang kritikan khususnya daripada aktivis politik, sekaligus menggambarkan isu yang menggugat sensitiviti rakyat di peringkat akar umbi.
Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, sebuah laporan portal berita mendakwa lebih 20,000 daripada 84,946 pemilik hartanah atau premis telah membuat bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berhubung cadangan kenaikan cukai berkenaan.
Katanya, jumlah tersebut bersamaan 23.54% iaitu hampir satu daripada setiap empat pemilik harta tidak bersetuju.
"Dalam mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT), kadar bantahan yang lebih 5% pun dianggap besar, tetapi MBAS menerima lebih 23.5% sekaligus menunjukkan rakyat berasa tidak puas hati dan marah susulan peningkatan mendadak beban kewangan serta jumlah kenaikan yang tidak kecil atau terpencil.
"Rakyat Kedah kini perit dengan kenaikan tarif air, cukai tanah dan terbaharu cas parkir bermeter, kali ini cukai pintu.
"Bukankah kanda kata Kedah negeri tempat berteduh untuk orang miskin, kes-kes ini sudah jadi sebaliknya pula," bidas Mohd Hisyamuddin dalam satu muat naik di Facebook beliau.
Menurut beliau atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, jika sebuah rumah di Alor Setar bernilai RM500,000 (penilaian dibuat oleh MBAS, bukan JPPH), maka cukai pintu semasa ialah RM550, iaitu bersamaan kenaikan 816.67 peratus.
"Betul Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Menteri Besar Kedah) dan Datuk Bandar MBAS kata kenaikan dari 0.03% hingga ke 0.4%, tapi ia bukan dari kadar SEA (Nilai Tahunan Anggaran) semasa, ia dari harga nilai semasa premis atau aset. Jadi kenaikannya akan tetap tinggi.
"Banyak lagi ‘finding’ yang kami temui, ada lebih 1,000 responden telah ditemui dan beri kerjasama," katanya lagi.
Terdahulu, Sanusi dilaporkan menggesa pemilik dan pemegang taruh yang terkesan dengan kadar cukai taksiran baharu untuk mengemuka bantahan melalui saluran rasmi.
Beliau menyeru pihak berkenaan memanfaatkan masa sehingga 5 November (kelmarin) untuk mengemukakan bantahan sebelum sesi pendengaran awam, menerusi saluran yang disediakan MBAS.
Sebelum ini, media turut melaporkan bahawa mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menggesa agar MBAS menyemak semula kadar baharu cukai pintu yang didakwa meningkat melebihi 200% bermula tahun 2026.
Ia susulan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kesan langsung kepada rakyat dan peniaga tempatan.
Ahmad Bashah berkata, langkah drastik itu dilihat membebankan masyarakat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.





