Cabaran laksana Reformasi dalam dasar Kerajaan Madani - AMK
- Redzuan Shamsudin

- Sep 17, 2023
- 2 min read

Cabaran utama Reformasi hari ini adalah untuk melaksanakan perubahan dalam kerangka Kerajaan Madani.
Hal itu diungkapkan oleh Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Omar Mokhtar A Manap.
Katanya, sebelum ini cabaran adalah untuk memberi kefahaman kepada rakyat apakah perjuangan Reformasi, kehendak dan tawarannya. Setelah ikon Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, cabaran adalah untuk melaksanakan isi kandungan Reformasi itu sendiri di dalam dasar dasar kerajaan.
"Dalam konteks ini saya lihat ini adalah satu 'fasa lain' cabaran kepada Reformasi. Sebelum ini cabaran kita nak beri orang faham apa Reformasi, apa perjuangan, kehendak, apa tawaran kita.
"Fasa sekarang, orang yang kita kata ikon kepada Reformasi itulah yang sedang memerintah negara. Cabaran waktu ini adalah untuk menterjemah dan melaksanakan Reformasi. Kita kena sedar bahawa Reformasi bukan hanya hal yang berlaku selepas kita jadi kerajaan.
"Reformasi merupakan satu perjalanan panjang perjuangan yang telah berlangsung sebelum ini, dan kita telah sambung dalam keadaan kita ada kuasa," katanya mengulas ulang tahun ke 15 gerakan Reformasi pada September ini.
Bagaimanapun, menurut Omar, terdapat sebahagian rakyat telah pun melihat Reformasi diterjemahkan lebih awal dalam Kerajaan Negeri, terutama rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Cuma pemahaman tersebut, kata beliau, perlu diperluaskan ke seluruh negara.
"Sebelum ini apa usaha kita dalam Reformasi? Banyak, contohnya dari segi pilihanraya, tawaran merakyat ekonomi di Selangor. Itu adalah proses yang berjalan.
"Sekarang cabaran sangat hebat. Sebelum ini kita bercakap dari luar skop dan kerangka kerajaan. Sekarang kita berada dalam kerajaan, jadi akses kepada maklumat dan sebagainya, itu semua dah berbeza. Mungkin kita rasa sebelum ini (masalah) sampai tahap 3 atau 4 tetapi bila kita masuk, rupanya 8 - 9 cabarannya.
"Jadi pendekatan kita tentunya agak sukar dengan pelbagai isu ini," katanya lagi.
Bagaimanapun, Omar berharap rakyat bersabar dalam sedikit masa untuk dasar dasar pembelaan sampai kepada mereka sebagaimana di negeri negeri yang pernah ditadbir PH, yang mana 2 tahun pertama adalah fasa perubahan struktur dan selepasnya rakyat merasai nikmat perubahan yang dibawa.




Comments