Cabaran akhlak anak muda perlu ditangani ibu, bapa, kerajaan – AMK Bandar Tun Razak
- Suara Keadilan

- Oct 20
- 2 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak menyeru agar pembentukan akhlak dan sahsiah anak muda dilihat sebagai tanggungjawab bersama keluarga, masyarakat dan kerajaan, bukan semata-mata dipikul oleh sekolah.
Dalam kenyataan medianya, Ketua Penerangan AMK Bandar Tun Razak, Muhammad Faiz Danial, berkata pihaknya memandang serius insiden tragis melibatkan pelajar sekolah kebelakangan ini termasuk kes rogol berkumpulan di Melaka dan kes tikaman pelajar perempuan yang tular baru-baru ini.
"Kesemua insiden ini menjadi peringatan jelas bahawa cabaran moral dan emosi anak muda semakin mendesak serta memerlukan tindakan menyeluruh daripada semua pihak," katanya.
Menurutnya, pendidikan moral dan nilai kemanusiaan bermula dari rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pendidik pertama dalam membina asas kasih sayang, disiplin, hormat dan tanggungjawab.

"Pembentukan modal insan yang seimbang tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada pengisian kekeluargaan yang kukuh," tegas beliau.
AMK turut menekankan bahawa masyarakat harus aktif memupuk budaya prihatin dan saling mengingatkan, bukan sekadar menjadi pemerhati terhadap isu sosial.
"Sikap tidak mahu ambil tahu hanya membuka ruang kepada gejala sosial untuk membiak tanpa kawalan. AMK Bandar Tun Razak percaya bahawa pendidikan nilai dan keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab bersama seluruh ekosistem masyarakat yang melibatkan keluarga, sekolah, komuniti dan kerajaan," ujarnya.
Dalam masa yang sama, generasi muda juga perlu dididik agar bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri dan memahami bahawa kebebasan datang bersama tanggungjawab.
Muhammad Faiz turut mengakui kerajaan melalui pelbagai kementerian seperti KPM, KPWKM dan KBS telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh sahsiah pelajar serta kesejahteraan psikososial, termasuk program Sekolah Selamat dan peningkatan jumlah kaunselor.
Namun, katanya, segala dasar ini hanya akan berkesan dengan sokongan aktif ibu bapa dan masyarakat.
Sehubungan itu, AMK Bandar Tun Razak menggesa kerajaan memperkasakan pelan tindakan rentas kementerian yang menyeluruh melibatkan pelbagai agensi bagi menangani peningkatan kes salah laku pelajar.
"Pendidikan moral, keselamatan sekolah dan kesejahteraan mental pelajar perlu dijadikan agenda nasional yang diberi perhatian segera, bukan hanya ketika tragedi berlaku," tegasnya.
Beliau berharap agar semua pihak berganding bahu membina persekitaran yang selamat, penyayang dan progresif demi melahirkan generasi muda yang berakhlak serta berempati.
"Modal insan yang berakhlak lahir daripada keluarga yang mengasuh, masyarakat yang menyokong dan sistem yang bertanggungjawab," katanya lagi.









Comments