Cabar Pesuruhjaya Pas Perak buktikan dakwaan sokongan
- Suara Keadilan
- May 22, 2023
- 1 min read

Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Razman Zakaria dicabar membuktikan dakwaan kononnya beliau memiliki sokongan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan spekulasi gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Naib Pengerusi KEADILAN Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata Razman perlu membuktikan dakwaan tersebut dengan menggunakan peluang semasa pemilihan Senator Dewan Negara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak Khamis ini.
"Saya cabar beliau menggunakan peluang semasa pengundian memilih Senator pada Khamis untuk membuktikan angka dalam proses meluluskan usul memilih Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri Perak," kata ADUN Hulu Kinta itu.
Terdahulu, Razman dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Melayu sebagai berkata, beberapa ADUN kerajaan datang sendiri berjumpa dengannya ketika khabar angin bertiup kencang mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.
Razman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah serta nama ADUN kerajaan yang didakwa berjumpa dengannya itu.
Sementara itu, Muhamad Arafat berkata rakyat Perak sedia maklum dengan sikap Razman kerana sebelum ini terbukti di mahkamah banyak kenyataan dibuat Pesuruhjaya Pas Perak itu dibuktikan sebagai fitnah dan tidak benar.
Justeru beliau beranggapan kenyataan Razman kali ini berniat jahat bagi memberi gambaran salah kepada rakyat kononnya Kerajaan Perpaduan Perak tidak stabil
Sedangkan Kerajaan Perpaduan Perak pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad, katanya, kukuh dan jauh lebih stabil daripada kerajaan BN - PN terdahulu serta terus memfokuskan pemulihan ekonomi negeri.
"Ini (kenyataan Razman) hanya akan membantut (pelabur masuk) pembangunan, peluang pekerjaan serta ekonomi di negeri ini yang akhirnya akan menyusahkan rakyat," tambahnya.
Comments