Buli: Pendakwah selebriti jadi ‘senjata’ lembut jiwa pelajar - YADIM
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengumumkan langkah tegas memerangi gejala buli di sekolah dengan menggunakan sentuhan dakwah yang dekat di hati golongan muda — melalui penglibatan pendakwah selebriti.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom (gambar) berkata, fenomena buli kini sudah menjadi trend membimbangkan dan memerlukan intervensi segera yang mampu menyentuh minda serta emosi pelajar.
"Generasi muda paling terkesan dengan budaya buli ini. Kami akan bekerjasama dengan tokoh yang mereka hormati dan ikuti, termasuk pendakwah selebriti, untuk menyampaikan mesej pencegahan secara berkesan," katanya dipetik Selangortoday.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Pendekatan Dakwah (SMILED) Siri 3/2025 di Dewan Seroja, hari ini, yang menghimpunkan 250 peserta.
Melalui program ini, YADIM memberi penekanan kepada modul literasi kesihatan mental berasaskan dakwah, dibangunkan bersama rakan strategik, dengan sasaran mewujudkan persekitaran sekolah selamat, bebas buli, dan melahirkan pelajar berdaya tahan.
Menurut YADIM, pendekatan ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memerangi buli secara holistik — bukan hanya melalui penguatkuasaan, tetapi juga membentuk hati dan fikiran pelajar agar menolak budaya ganas itu sejak awal.