“Buli Adalah Jenayah”: AMK Hang Tuah Jaya lancar kempen kesedaran
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 2 min read

Kematian Allahyarhamah Zara Qairina seharusnya membuka mata masyarakat Malaysia mengenai jenayah buli.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda KEADILAN Hang Tuah Jaya, Muhammad Hafiz Rayyan, kes berprofil tinggi itu tidak seharusnya dilihat sebagai insiden terpencil, apatah lagi siasatan polis sendiri sudah mengesahkan wujud elemen jenayah yang berunsur buli.
Namun beliau berasa sedih apabila segelintir pihak sengaja memesongkan episod duka kematian Zara untuk membuat tuduhan melulu kepada kerajaan, menyalahkan pihak berkuasa dan malah semata mata menghasilkan konten di media sosial.

"Kes ini diburukkan lagi apabila ada pihak yang mereka cerita. Terbaru, seorang guru bahasa Inggeris dipanggil polis kerana menyebarkan cerita palsu kononnya adik Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh.
"Bila ditanya apa tujuannya sebarkan cerita itu, jawabnya hanya untuk konten media sosial. Bayangkan, luka seorang ibu dijadikan bahan tontonan. Betapa runtuhnya nilai empati dalam masyarakat kita," kata beliau dalam satu kenyataan.
Hafiz juga menegaskan buli bukan salah laku kecil. Perbuatan itu, katanya, boleh memadam masa depan seseorang, meruntuhkan harapan ibu bapa, dan menghancurkan bakat yang sepatutnya digilap.
Ujarnya, tragedi kematian Zara seharusnya menjadi noktah kepada budaya buli di Malaysia.
Justeru, pihak AMK Hang Tuah Jaya melancarkan jelajah “Buli Adalah Jenayah” bermula dari ranting Bachang dan seterusnya diperluas ke seluruh kawasan cabang berkenaan di Melaka.
"Parti hanyalah wadah, tetapi kebersamaan kitalah mata dan telinga untuk menjaga satu sama lain.
"Selagi kita bersama, kita tidak akan biarkan ada lagi anak muda kita yang hancur masa depannya kerana buli," katanya.
Beliau menegaskan, masyarakat perlu kembali menanam rasa empati, bukan hanya terhadap keluarga arwah, tetapi juga sebagai benteng untuk memastikan generasi muda dilindungi daripada budaya ganas rakan sebaya.









Comments