top of page

"Bukan Sekadar Bangunan, Olympic House Simbol Perpaduan Negara" - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 7
  • 2 min read

DS Anwar (tengah) menyodok pasir simbolik majlis pecah tanah Olympic House, Majlis Olimpik Malaysia
DS Anwar (tengah) menyodok pasir simbolik majlis pecah tanah Olympic House, Majlis Olimpik Malaysia

Bukan sekadar batu asas yang diletakkan hari ini tetapi juga satu asas baharu untuk masa depan sukan Malaysia.


Demikian mesej penuh semangat disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pecah tanah Olympic House, ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan dibina di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.


Projek bangunan berprestij ini dijadualkan siap pada 2028, tapi Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu ia disiapkan lebih awal.


"Saya cukup teruja dengan projek ini. Ia lebih daripada sekadar infrastruktur. Olympic House melambangkan semangat perpaduan dan komitmen untuk memperkasakan rakyat, khususnya golongan belia," katanya di hadapan warga sukan negara.


Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.


Bangunan pusat sehenti kepada 58 persatuan sukan kebangsaan itu akan dibina di atas tanah seluas 5.38 ekar dengan ruang lantai kasar lebih 140,000 kaki persegi.


Antara kemudahan yang bakal disediakan ialah auditorium, galeri, gimnasium, muzium sukan, pusat sumber, kafe, surau dan ruang rehat


Bangunan tersebut juga akan menampilkan papan tanda berkuasa solar, pencahayaan pintar, sistem penuaian air hujan, pengudaraan semula jadi dan kelengkapan penggunaan tenaga rendah.


Projek dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu menggantikan Wisma MOM yang dibina pada 1991 berdekatan Stadium Merdeka.


Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa tiada medium lain yang lebih berkesan menyatukan rakyat Malaysia selain sukan.


"Saya tak nampak ada aktiviti lain yang mampu menyatu padu rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama sekuat sukan," katanya dipetik Sinar Harian sambil memuji usaha Presiden MOM dalam merealisasikan projek ini.


Dalam nada penuh harapan, Anwar juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau dan menyokong MOM, selagi mahu mereka menunjukkan usaha memperbaiki tadbir urus dan memastikan manfaat jatuh ke tangan sebenar iaitu para atlet muda yang membawa nama negara ke pentas dunia.


Beliau turut berkongsi bahawa perbincangan sudah diadakan bersama Hannah untuk meneliti semula sistem sekolah sukan dan institusi sukan utama supaya pembangunan atlet benar-benar ditambah baik dari akar umbi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page