BUDI95 ringan beban rakyat, harap turunkan kos hidup - Pengerusi LKIM
- Suara Keadilan

- Sep 26
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil (gambar) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON95 di bawah inisiatif BUDI95 yang disifatkan sebagai langkah tepat untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat.
Menurut beliau, penurunan harga petrol bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna harian, malah diharap mampu menurunkan kos barangan lain yang turut dipengaruhi oleh harga bahan api.
"Minyak adalah antara barang guna paling utama. Apabila kos petrol berkurangan, sepatutnya sektor perniagaan juga mengambil perhatian untuk menurunkan harga barang.
"Ini akan mengurangkan beban kos hidup rakyat, di samping membantu perniagaan kecil yang bergantung kepada bahan api.
"PN pula mengatakan mereka buat macam-macam hal kebajikan, tapi mereka tidak menurunkan harga minyak. Malah bantuan yang diberikan pun membebankan rakyat sendiri, contohnya isu pengeluaran caruman KWSP.
"Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar dan pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri menunaikan janji untuk menjaga kebajikan rakyat, sekali gus menepis persepsi negatif pihak pembangkang," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas dari sudut sektor perikanan, Faiz menjelaskan penurunan harga minyak memberi impak langsung kepada nelayan, khususnya di kawasan luar bandar.
"Bagi industri besar, kesannya mungkin tidak begitu terasa. Tetapi bagi nelayan, pengurangan kos petrol memberi motivasi untuk berada lebih lama di laut.
"Ini bermakna lebih banyak hasil ikan dibawa ke pasaran dan ia membantu mencapai keterjaminan makanan negara," jelasnya.
Tambah beliau, terdapat kira-kira 112,000 nelayan berdaftar di seluruh negara, dengan sekitar 60,000 masih aktif turun ke laut, manakala 44,000 adalah nelayan pantai.
Contohnya, seorang nelayan perlu pergi ke stesen minyak untuk membeli petrol. Di situ sudah ada kos tambahan. Bila berlaku pengurangan begini, ia menjimatkan kos nelayan. Sampai di laut, mereka tetap mendapat diesel bersubsidi pada harga RM1.65.
Ini bukan sahaja mengurangkan beban sara hidup nelayan, tetapi juga memotivasikan mereka untuk lebih bersemangat menangkap ikan lebih lama di laut, supaya lebih banyak hasil ikan di pasaran dan kita mencapai keterjaminan makanan.
"Apabila kos operasi berkurang, produktiviti akan meningkat. Secara tidak langsung, ekonomi negara berkembang, pendapatan rakyat bertambah dan kesejahteraan rakyat terus terjamin," katanya lagi.









Comments