Insiden lemparan bom petrol kedua di sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang malam tadi tidak wajar berlaku pada ketika kerajaan telah mengambil tindakan tegas ke atas isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sebelum ini.
Bagi Angkatan Muda Harapan (Pemuda PH) insiden kedua, selepas insiden sama berlaku di sebuah rangkaian KK Mart di Perak minggu lalu hanya akan memicu sikap ganas yang tidak diperlukan dalam negara majmuk seperti Malaysia.
"Kita sedia maklum berkenaan insiden cetakan kalimah suci Allah pada stoking yang dijual oleh sebuah pasaraya KK Mart baru-baru ini sangat serius dan telah memberi impak kepada masyarakat seluruh negara khususnya umat Islam, apa lagi ketika kita sedang berada di dalam bulan Ramadan.
"Namun sebarang tindakan tidak rasional dan di luar batas undang-undang haruslah dikecam dan mana-mana pihak yang terus mengapi-apikan dan menunggang isu ini sehingga mengakibatkan berlaku kegiatan ekstrimisme dan perbuatan melampau haruslah dihukum mengikut lunas undang-undang sedia ada," kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Menurut Pemuda PH, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah amat perlu dihormati tidak mengira apa pun pegangan agama atau idealisme politik.
Kata mereka, tiada guna pihak tertentu mengambil tindakan sendiri kerana keadaan bakal bertambah buruk apabila berlakunya pelanggaran undang undang.
"Maka kami menyeru agar semua pihak tenteram dan biar pihak berkuasa untuk menjalankan tugas serta mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meredakan keadaan sebelum ia bertambah parah.
"Marilah kita bersama-sama bergerak ke arah perpaduan, bukan perpecahan. Inilah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk, agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Perpaduan adalah kekuatan kita bersama," kata Pemuda PH lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua DAPSY Kebangsaan, Dr Kelvin Yii; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda dan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang.
Comentarios