
Manifeso BN dan PN telah diumumkan namun menyangkut isu pendidikan tiada penyelesaian progresif yang diumumkan dalam manifesto kedua dua gabungan itu.
Menurut calon Ahli Parlimen Pakatan Harapan Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, BN - PN tidak mempunyai cara untuk mengelakkan lahirnya generasi tercicir dalam kalangan pelajar pasca pandemik Covid 19.
Begitu juga, katanya BN - PN tidak mempunyai formula menyelesaikan masalah yang melanda peminjam dana PTPTN dan pendidikan percuma untuk golongan B40.
"Sebaliknya, PH menjanjikan pengampunan pinjaman PTPTN yang disasarkan kepada pelajar dari isi rumah B40. Jadual pembayaran balik PTPTN juga akan diselaraskan berdasarkan pendapatan graduan baharu bermula daripada RM4,000 dengan peratusan meningkat berdasarkan gaji.
"Kerajaan PH akan memperkenalkan lebih banyak biasiswa B40 untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN. Ini akan mengatasi kesenjangan kaya-miskin yang meluas dalam pendidikan hari ini.
"Kami komited untuk membasmi “kemiskinan Internet” dengan meluaskan internet berkelajuan tinggi ke seluruh Malaysia. Ini mungkin kelihatan serupa dengan apa yang diikrarkan oleh BN - PN, tetapi kami mengutamakan liputan sejagat dan kualiti perkhidmatan mengatasi yang lain," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Tegas Naib Presiden KEADILAN itu, berbanding BN - PN yang menyentuh program latihan kemahiran TVET secara sepintas lalu manifesto PH menyentuhnya secara menyeluruh dalam bab mengenai “Menaiktaraf Bidang Teknikal dan Vokasional”
Katanya, TVET sangat penting kerana negara maju mampu mengekalkan keungulan pekerja berskil tinggi dengan kaedah berkenaan. Namun di Malaysia anak muda tanpa skil terpaksa bekerja dalam sektor gig ekonomi sebagai penghantar barang.
"PH memperkenalkan dasar Penolakan Sifar untuk pendaftaran ke dalam sistem TVET. Menubuhkan Penyelaras Bebas dengan penglibatan industri untuk menguruskan institusi TVET
"Juga rangka kerja OpenCreds untuk memudahkan pelajar TVET, pendidik dan profesional memperoleh akreditasi akademik dan kelayakan sarjana muda dalam meningkatkan kerjaya
"Ini membuktikan PH mempunyai pelan menyeluruh untuk sektor ini, yang sangat penting untuk masa depan ekonomi Malaysia," katanya.
Selain itu, menurut Nik Nazmi, PH juga konsisten meningkatkan peruntukan dana untuk program sarapan percuma supaya lebih 500,000 penerima akan dibekalkan dengan nutrisi yang diperlukan setiap hari dalam sesi persekolahan mereka
PH turut berikrar untuk menaiktaraf sekolah usang di Sabah dan Sarawak, di samping membaiki infrastruktur sekolah seluruh negara dengan meningkatkan perbelanjaan membina bangunan baharu melalui pembinaan modular dan IBS di samping menyasarkan penyelenggaraan bangunan sekolah yang lebih cekap
"Kami berikrar mengurangkan beban tugas guru, termasuk melalui penyelarasan prosedur dan laporan sedia ada serta pengambilan pembantu pengajar.
"Di peringkat pengajian tinggi kami berusaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (UUCA) supaya pelajar, pensyarah dan alumni diiktiraf sebagai pemegang taruh sebenar dengan memberikan mereka autonomi yang amat diperlukan serta menjunjung semangat reformasi Undi 18 yang memberikan undi kepada pelajar pengajian tinggi berumur 18—20 tahun," katanya lagi.
Nik Nazmi seterusnya mempelawa rakyat membaca sepenuhnya manifesto PH di pautan https://kitaboleh.my/ bagi membandingkan manifesto pihak manakah lebih baik untuk masa hadapan rakyat dan negara ini.