
Melaka mempunyai pelbagai sumber, sama ada sumber manusia berpendidikan atau keindahan alam untuk pelancongan.
Bagaimanapun, negeri itu kekurangan pemimpin yang berwibawa sehingga kemajuan dan kesejahteraan hidup rakyatnya tersekat dan tidak berkembang.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini perlulah memilih pemimpin berwibawa untuk mengembalikan negeri itu ke landasan sebenar.
"Melaka sebuah negeri walau kecil tetapi punya potensi besar, pelancongan, sumber manusia, perindustrian. Kita ada masyarakat berbilang kaum yang rajin berusaha
"Melaka perlukan kepimpinan yang cekap dan prihatin. Kita sudah menjadi kota termasyur di dunia ratusan tahun lalu dan kita harus mengekalkan rekod ini
"Malangnya di bawah kemimpinan sedia ada mereka tak upaya bangunkan ekonomi selain korek pasir buat tambak laut atau rampas tanah dari orang kampung.
"Mereka jadikan peluang pemerintahan hanya untuk mengaut dan mengkayakan kelompok memegang kuasa," katanya dalam ceramah secara maya di Taman Sri Krubong, malam tadi.
Menurut Tian lagi, sekatan dan penindasan demokrasi sepanjang kempen PRN kali ini tidak akan melemahkan semangat reformis untuk berjuang bagi memastikan rakyat Melaka mendapat pemerintah terbaik selepas 20 November .
Oleh itu, katanya rakyat juga perlu membantu dengan cara masing-masing dengan berkongsi kempen secara maya yang dilakukan oleh Pakatan Harapan.
"Kita adalah golongan yang menuntut supaya perubahan dan reformasi berlaku.
"Walaupun ada sekatan seperti ini kita tidak akan tunduk dengan tekanan mereka kerana kita adalah golongan reformis yang berani bawa perubahan. Saya juga anak Melaka, dilahir dan membesar di sini. Saya berjiwa anak Melaka," katanya.
Tian memberi amaran, sekiranya BN atau PN kembali berkuasa maka rakyat tidak akan dapat pemerintah yang akan menjaga kebajikan sebaliknya mengulangi perebutan kuasa selama 18 bulan sebagaimana yang berlaku di dalam kerajaan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali semasa berkuasa.
"Itu sebab rakyat harus bangkit, kita tidak kompromi dengan rasuah dan mereka yang tamak. Untuk memastikan pemulihan dari Covid boleh diuruskan dengan baik, kita perlukan kerajaan bertanggungjawab.
"Sudah tentu BN atau PN tidak mampu memberi jaminan ini. Mereka asyik bergaduh, kerusi tak selesai, lambang tak selesai, mereka bukan bertanding jaga kebajikan rakyat, pulih ekonomi, pastikan negeri ini tetap maju. Tetapi mereka bertanding kerana ingin kuasa dan kekayaan.
"Kita mahu tunjukkan rakyat Melaka pengundi yang bijak untuk memilih. Jangan bagi nasib anak cucu kita tergadai kerana politik mereka," katanya lagi.