'BN bertanding secara solo guna logo, bukan bersendirian tanpa kerjasama'
- Suara Keadilan
- 1 minute ago
- 1 min read

Ungkapan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo sebagaimana dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat mencetuskan kejutan ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill, Semenyih, pada petang tadi.
Netizen sempat berkomentar berkemungkinan BN akan bertanding secara solo sepenuhnya sebagaimana dilakukan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru baru ini.
Terdapat juga portal berita yang mengandaikan BN akan menggunakan formula bertanding solo ala-Sabah tetapi bekerjasama membentuk kerajaan selepas keputusan diumumkan.
Bagaimanapun, dalam jawapan kepada pemberita kemudiannya, Dr Zahid yang juga Pengerusi BN menjelaskan maksud sebenar beliau 'bertanding solo', iaitu menggunakan logo BN dan tidak mungkin gabungan itu akan menggunakan logo parti atau gabungan lain.
"...akan bertanding secara solo gunakan lambang dacing, saya sebut bukan semestinya kita tidak boleh bekerjasama dalam bentuk perundingan, supaya tidak ada pertindihan kerusi atau jentera kita menolong satu sama lain.
"Itu maksud saya dari segi bertanding solo. Kita tidak akan menggunakan lambang lain lain parti atau atau lambang lain parti gabungan," katanya.
Ditanya mengenai corak kerjasama yang akan dibentuk dengan rakan politik sedia ada, Zahid terbuka untuk kerjasama dengan pihak pihak yang difikirkan sesuai bagi membanyakkan rakan dalam menghadapi pilihanraya.
"Kita akan bekerjasama dengan cara bijaksana. Dan kebijaksanaan untuk tidak bermusuh dengan ramai orang lebih baik daripada kalau kita merasa kita ampuh dengan apa juga keadaan, tanpa memikirkan iklim politik yang semakin berubah," katanya lagi.





