Isu mahasiswa biar pun kerap diperbincangkan namun masih tidak ada tindakan penyelesaian dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Sehubungan itu, menurut Pengerusi Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak, biro itu telah menyerahkan nota ringkas isu isu yang masih membelenggu mahasiswa kepada Ahli Parlimen dan Senator Dewan Negara KEADILAN untuk dibahaskan.
"Biro Mahasiswa AMK telah menyediakan satu nota ringkas terkait isu-isu kontemporari bersangkutan dengan mahasiswa dan hal ehwal tatakelola universiti dengan berfokuskan isu kos sara hidup mahasiswa.
"Penyediaan nota ringkas ini hasil daripada beberapa sesi perjumpaan Biro Mahasiswa AMK bersama kumpulan mahasiswa, khusus melalui Siri Dialog Siswa anjuran Biro Mahasiswa AMK Malaysia dengan penyertaan gerakan-gerakan mahasiswa terkait isu ‘Kos Sara Hidup Mahasiswa’ pada 7 Disember 2021 yang lepas," katanya.
Antara masalah mahasiswa yang terkandung dalam nota itu adalah mengenai Kos rumah sewa bagi mahasiswa yang menetap di luar kampus; Kos pengangkutan dan pergerakan; Harga makanan dan inisiatif status quo Bank Makanan di kampus; Janji bantuan peranti yang mendukacitakan; Polisi penempatan di kolej kediaman;Bantuan sekali beri mahasiswa yang sedikit sejak mutakhir; Keciciran pengajian (dropout) dan Ujian kendiri Covid-19 di kampus.
Kata Haziq, hasil perbincangan bersama gerakan-gerakan mahasiswa dalam siri dialog berkenaan juga telah menekankan keperluan mendapatkan maklumat terperinci terkait dampak pandemik Covid-19 terhadap mahasiswa, khusus bagi perihal keciciran pengajian mahasiswa universiti (dropout) yang cukup jarang dibicarakan dan diamati.
"Untuk itu, saudara Akmal Nasir, Ketua AMK Malaysia merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru telah memasukkan perihal ini sebagai salah satu soalan bertulisnya bagi persidangan Parlimen kali ini.
"Biro Mahasiswa AMK Malaysia akan terus mempergiat usaha berhubung rapat dengan kumpulan mahasiswa yang rencam melalui pelantar yang pelbagai, termasuk melalui penganjuran Siri Dialog Siswa supaya dapat terus mengetengahkan dan
mengarusperdanakan isu-isu terkait mahasiswa dan hal ehwal tatakelola universiti demi kepentingan awam," katanya lagi.
Hal itu menjadi lebih serius, kata Haziq apabila kemiskinan dan ketidaksamaan sosial menjadi kebimbangan utama berikutan dampak pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
Comments