Berwaspada guna AI, pesan Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan

- Sep 18
- 1 min read

Semua pihak khususnya generasi muda dinasihati agar lebih berhati-hati dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin meluas.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata, meskipun teknologi itu membawa banyak manfaat, ianya tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan kerana berisiko menjerumuskan pengguna kepada fitnah, penipuan dan salah faham.
"AI boleh membantu dalam pembelajaran, memudahkan tugasan dan membuka ruang inovasi, namun jangan terlalu bergantung kepadanya.
"Boleh bertanya AI termasuk soal agama, tetapi semak dahulu kesahihan maklumat. Rujuklah sumber yang kita tahu sahih," kata Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) itu dipetik.
Dr Wan Azizah sebelumnya hadir merasmikan JADE Camp PPPM 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Program tersebut menghimpunkan 1,000 Pandu Puteri Remaja dan pemimpin dari 18 cawangan seluruh negara dengan objektif memupuk perpaduan, patriotisme serta persahabatan positif merentas negeri. Majlis itu turut disertai sambutan Ulang Tahun ke-109 PPPM.
Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah turut menekankan keperluan ahli Pandu Puteri celik teknologi serta bijak menggunakan media sosial secara positif.
"Gunakan media sosial untuk berkongsi pengalaman sepanjang JADE Camp dengan kapsyen yang membina serta memberi inspirasi. Namun jangan dedahkan maklumat peribadi secara berlebihan atau menyebarkan berita palsu. Jika tidak pasti, jangan kongsi," tegasnya.









Comments