Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (gambar, kanan) baru baru ini melakukan kunjungan hormat dan bertukar tukar pandangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof di Putrajaya.
Menurut Johari, pebagai perkara diperbincangkan dalam pertemuan tersebut, antaranya jaminan bekalan makanan negara (food security) yang dianggap cukup penting dalam memastikan kelangsungan stok makanan sentiasa mencukupi.
"Bagi saya, setiap rakyat berhak mendapat bekalan makanan mencukupi dan selamat kerana itu adalah hak asasi bagi setiap daripada kita.
"Isu kebergantungan import bekalan makanan juga disuarakan. Kerajaan membelanjakan beratus-ratus bilion setahun untuk import makanan sedangkan di negara ini mempunyai sumber yang mencukupi, namun tidak diuruskan dengan baik.
"Kegusaran, kegelisahan serta keresahan majoriti rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah mengenai kenaikan harga barang turut dibangkitkan.
"Kebanyakan rakyat pada hari ini mengeluh "sesak dan tenat" dengan apa yang berlaku," katanya.
Ketua Whip Parlimen KEADILAN itu berkata lagi, beliau membawa isu terbabit ke pengetahuan pihak KPDNHEP untuk dicari jalan penyelesaian secara tuntas serta segera, selain perlu lebih banyak dilakukan penguatkuasaan bagi mengelak kenaikan harga semakin parah.
"Masalah kenaikan harga barang bukan satu mainan tetapi realiti yang dihadapi oleh rakyat.
"Semoga pertemuan dan segala input perbincangan bersama ini dapat diambil perhatian serta tindakan oleh pihak KPDNHEP," katanya lagi.
Johari dalam pertemua itu turut mengucapkan tahniah di atas perlantikan Azman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau berharap Azman akan berkhidmat dengan cemerlang.
Комментарии