top of page

Bersederhana di Aidilfitri, fokus empati, ketahanan ekonomi negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 21
  • 2 min read

Seruan agar rakyat menyambut Hari Raya Aidilfitri secara sederhana menjadi penekanan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khasnya, susulan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan langsung kepada negara.


Dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2026 yang disiarkan malam tadi, beliau mengingatkan bahawa konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada negara terlibat, malah turut menjejaskan Malaysia dari sudut ekonomi dan kos sara hidup.


"Jadi, sebab itulah sementara kerajaan akan berusaha sedaya upaya meringankan rakyat dari beban yang bakal ditimpa. Kita juga bertanggungjawab untuk kembali menjiwai roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat miskin," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar lebih berhemah dalam berbelanja serta menjiwai semangat Ramadan dengan meningkatkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.


"Kerajaan MADANI akan terus berusaha mempertahankan dan mengukuhkan kedudukan ini tatkala cabaran semakin meningkat," ujarnya.


Dalam masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha meringankan beban rakyat meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kekal optimis dengan kedudukan ekonomi semasa hasil perancangan rapi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Mengulas aspek kerohanian, beliau menegaskan bahawa Ramadan bukan sekadar ibadah ritual, sebaliknya berperanan sebagai madrasah pembentukan akhlak dan jati diri.


"Objektif puasa atau Maqasid al-Sawm yang dihuraikan ulama terkemuka, Imam al-'Izz bin 'Abd al-Salam, mengandungi hikmah dan matlamat untuk menjadikan madrasah Ramadan sebagai asas kekuatan dalam membina peribadi serta membebaskan diri daripada belenggu nafsu melalui perjuangan rohaniah berterusan sebagai satu bentuk mujahadah," jelasnya.


Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan perpaduan nasional sebagai asas kekuatan negara, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.


Beliau turut menggesa agar tradisi Aidilfitri seperti ziarah-menziarahi, rumah terbuka dan semangat kebersamaan terus diperkukuh sebagai simbol keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page