Bersama dan formula 'kuasa ketiga' politik fantasi, tidak realistik?
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) menyifatkan kelemahan paling ketara parti Bersama dianggotai Datuk Seri Rafizi Ramli ketika ini ialah kekurangan jentera politik yang kukuh, yang merupakan elemen paling penting untuk sesebuah parti menterjemahkan sokongan kepada kemenangan pilihanraya.
Katanya, pengaruh di media sosial bukan elemen menggambarkan kekuatan akar umbi, manakala kandungan yang tular di platform digital juga bukan jaminan untuk sokongan undi.
"Pilihanraya dimenangi melalui rangkaian tempatan, ejen tempat mengundi, struktur cawangan dan operasi lapangan yang tersusun serta berdisiplin.
"Di luar kelompok terdekat Rafizi, Bersama masih kelihatan kosong dan rapuh. Dalam politik Malaysia, parti yang kosong dan rapuh tidak menjadi penentu kuasa. Mereka hanya menjadi pemecah undi," katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai manifesto Bersama pula, Lokman menyifatkannya sebagai kelihatan kemas dan bercita-cita tinggi pada pandangan pertama.
Namun katanya, apabila rakyat mula meneliti butirannya kelemahan demi kelemahan mula terserlah.
"Beberapa cadangan telah pun dikritik sebagai fantasi yang tidak realistik dan terputus daripada realiti ekonomi dalam mentadbir sesebuah negara.
"Anda tidak boleh menjanjikan sistem kebajikan yang luas, sasaran penjagaan kesihatan yang (terlalu) bercita-cita tinggi serta perlindungan sosial yang menyeluruh.
"Pada masa yang sama mengehadkan fleksibiliti pasaran buruh dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tanpa menjelaskan dari mana sumber kewangan, tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi akan diperoleh.
"Ini bukan dasar yang serius. Ini adalah politik fantasi," katanya membidas bekas Timbalan Presiden KEADILAN itu.
Dalam pada itu, Lokman berkata, hasrat Rafizi untuk menjadikan Bersama sebagai ‘kuasa ketiga’ yang bergerak secara bebas mungkin menarik perhatian penyokong tegar parti itu, namun realiti politik Malaysia menunjukkan sistem sedia ada banyak bergantung kepada gabungan, rundingan dan kompromi politik.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia itu menambah, tiada parti kecil yang bergerak secara bersendirian mampu secara realistik menguasai Kerajaan Persekutuan.
"Di situlah terserlah percanggahan yang paling jelas.
"Bersama menyerang politik gabungan pada hari ini, sedangkan ia mengetahui bahawa jika parti itu mampu bertahan dalam jangka panjang, akhirnya ia juga akan terpaksa membuat kompromi yang sama seperti (parti) yang sedang dikritiknya sekarang.
"Itu bukan keberanian politik. Itu hanyalah teater politik," bidas Lokman lagi.




Comments