Berita palsu berpotensi cetus kekacauan sebagaimana di UK - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan
- 29 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Berita palsu dan tohmahan perlu ditolak keras oleh masyarakat kerana berpotensi menimbulkan kekeliruan serta membawa kerosakan yang besar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata menerusi pengamatannnya, masih ramai individu dikesan terus menyebarkan berita palsu dan cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, tindakan yang berpotensi mencetuskan rusuhan serta kerosakan kepada masyarakat.
Terbaharu, berita palsu kononnya wanita bermasalah mental yang menceroboh majlis sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak ke 68 dan menggganggu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditohmah sebagai berketurunan Cina telah tersebar dan mencetus suasana kurang harmonis.
Hal itu mengingatkan beliau kepada situasi hampir sama yang berlaku di United Kingdom (UK) beberapa tahun lalu.

"Masih ingat lagi rusuhan yang berlaku di UK. Hanya kerana sebaran berita palsu menyatakan orang Islam yang membunuh tiga kanak-kanak di Southport, Merseyside telah berlaku rusuhan yang menyebabkan kerosakan dan mengganggu ketenteraman awam.
"Saya ada di UK ketika rusuhan baru berlaku. Keadaan sangat merunsingkan dan membimbangkan.
"Setelah disiasat dan disahkan, rupa-rupanya bukan orang Islam yang melakukan pembunuhan, ia hanya berita palsu tetapi telah tersebar dan rusuhan semakin meluas," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli kesal di neara ini terdapat juga segelintir 'orang agama' yang secara sengaja atau tidak terjebak menyebarkan berita palsu.
Menurutnya, orang agama sepatutnya lebih berhemah dan memeriksa kesahihan berita sebelum membuat perkongsian sesuai dengan martabat jawatan dan ilmu mereka.
"Kerosakan akibat fitnah dan berita palsu itu dahsyat.
"Jom semua, kita tolak dan lawan fitnah dan berita palsu," seru beliau.