Beri rakyat RM6,000: Belanjawan Alternatif PN tidak realistik
- Suara Keadilan

- Oct 14
- 2 min read

Cadangan Belanjawan Alternatif Perikatan Nasional (PN) yang diketengahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam amat tidak realistik apabila membayangkan bakal memberi bantuan sejumlah RM6,000 setahun kepada rakyat miskin dan memerlukan.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf Amram, Belanjawan Alternatif Perikatan Nasional itu tidak berpijak kepada realiti ekonomi negara.
Katanya, cadangan seperti itu hanya boleh dilakukan sekiranya Hamzah menunjukkan dari manakah kerajaan boleh mendapatkan sejumlah besar dana bagi menampung skim kebajikan yang disebutkannya.
"Cadangan untuk memperkenalkan bantuan sehingga RM6,000 setahun kepada rakyat tanpa penjelasan mengenai sumber hasil dan implikasi fiskal menunjukkan kelemahan asas dalam perancangan ekonomi PN.
"Dalam keadaan fiskal negara yang sedang melalui proses penstrukturan semula subsidi dan usaha menstabilkan defisit, cadangan seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan pendekatan lebih holistik dan realistik melalui Belanjawan 2026, yang menumpukan kepada penyasaran subsidi secara bersasar, pemerkasaan belia dan OKU, peningkatan produktiviti Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pendigitalan ekonomi negara.
"Pendekatan ini terbukti lebih mampan dan berdaya saing untuk jangka sederhana dan panjang, bukannya janji manis berbaur populisme," katanya.
Abshar menegaskan bahawa belanjawan alternatif yang bertanggungjawab seharusnya berasaskan data sebenar, unjuran ekonomi kukuh dan disiplin fiskal berhemah, bukan sekadar janji kosong untuk meraih sokongan politik.
"Rakyat khususnya golongan rentan dan berpendapatan sederhana, kini semakin matang dan bijak menilai dasar yang benar-benar membawa manfaat serta menjamin kesejahteraan masa depan mereka," ujar beliau.
Sehubungan itu, AMK Bukit Mertajam, kata Abshar menyeru anak muda menolak politik populis yang menjanjikan “bulan dan bintang” tanpa pelan pelaksanaan yang jelas.
"Masa depan negara menuntut keberanian membuat keputusan berdasarkan fakta dan keutamaan rakyat, bukan emosi atau kepentingan politik sempit," katanya lagi.
Semalam dalam membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Hamzah berkata, PN akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah memerlukan jika mengambil alih pentadbiran negara.
Bantuan itu katanya, akan mengantikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disifatkan terhad serta bersyarat.









Comments