Beri pinjam syarikat judi: Jangan sampai berulang skandal BMF - Hassan Karim



Pemberian pinjaman didakwa tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong yang kini muflis menimbulkan tanda tanya mengenai kawal selia institusi kewangan Malaysia.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz perlu memberi penjelasan segera berkenaan skandal terbaharu tersebut yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit dialami bank bank terbabit.


Lebih merumitkan, katanya, tiga bank besar yang memberi pinjaman tersebut pula dikuasai oleh dana dana amanah dan pencen negara di bawah Kerajaan Persekutuan.


"Saya ingin mendesak Menteri Kewangan Malaysia supaya menjawab satu isu besar kewangan yang mungkin akan mengulang semula Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong.


"Saya ingin jawapan mengapakah PNB, Khazanah dan KWSP telah memberi pinjaman kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang bernama Genting Hong Kong yang kini telah diisytihar muflis?


"Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menerusi kenyataan medianya bertarikh hari ini 27 Januari 2022," katanya.


Menurut beliau, isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia perlu dijawab oleh Menteri Kewangan pada kadar segera dan tidak boleh dibiarkan pelbagai spekulasi negatif timbul dalam kalangan rakyat mahu pun institusi kewangan.


Tiga buah bank Malaysia yang memberi pinjaman ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dengan jumlah pinjaman AS$600 juta atau RM2.51 bilion.


Menurut Hassan, sekiranya isu tersebut tidak ditangani dengan baik tidak mustahil ia akan mengulangi skandal BMF lebih 30 tahun lalu apabila Bank Bumiputera menghadapi masalah kewangan akibat pembiayaan urusniaga meragukan di Hong Kong.


Tambah Hassan, hari ini tidak wujud lagi bank yang bernama Bank Bumiputera. Kata beliau, hal yang paling membimbangkan kali ini kerana skandal berkenaan membabitkan PNB, Khazanah dan KWSP yang memiliki saham terbesar dalam ketiga-tiga bank tersebut.


"Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya berpendirian yang sama dengan Ketua Pembangkang mempersoalkan satu pertanyaan kepada Menteri Kewangan yang pernah terlibat dengan sektor perbankan, iaitu bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada sebuah syarikat perjudian boleh diberi dengan sebegitu mudah?


"Menteri Kewangan telah memberitahu Parlimen bahawa kerajaan terpaksa menggunakan wang amanah yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion untuk membeli vaksin melawan Covid-19, kerana atas alasan Kerajaan tidak ada wang.


"Tetapi dalam isu pinjaman kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong, bagaimana boleh kerajaan yang bertanggungjawab menjaga amanah rakyat di dalam PNB, Khazanah dan KWSP membenarkan tiga bank itu memberi pinjaman kepada sebuah syarikat yang kini muflis di Hong Kong?" tanyanya.


Beliau juga mahu tahu dari Menteri Kewangan bagaimanakah pinjaman tanpa jaminan sebanyak RM2.51 bilion itu akan dibayar balik oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis?


Dakwa Hassan, kemungkinan terdapat kecuaian dan pengabaian peraturan dalam urusan pemberian pinjaman berkenaan yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Kewangan.


"Saya melihat ada isu kecuaian dalam perkara ini. Bukan sahaja tiga buah bank Malaysia tersebut cuai dan abai, tetapi juga Menteri Kewangan yang diberi amanah untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat juga cuai dan abai serta tidak berhemah


"Saya khuatir pinjaman tidak berjamin kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia itu boleh mengheret tiga buah bank utama mengalamai kerugian berbilion ringgit dan seterusnya kepentingan negara dan rakyat di dalam PNB, Khazanah dan KWSP ikut terjejas," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER