Berdepan cabaran kewangan global: Sains, teknologi, inovasi pemacu utama - PM
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sains, teknologi dan inovasi (STI) perlu dijadikan pemacu utama dalam penyelesaian ekonomi negara bagi memastikan Malaysia mampu berdepan cabaran kewangan global serta ketidaktentuan rantaian ekonomi dunia.
Perdana Menteri berkata perancangan dan pelaksanaan berkaitan STI mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan termasuk dalam mendepani krisis tenaga.
"Kerajaan terus memberi tumpuan penuh kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) di Putrajaya hari ini.
Malaysia sebelum ini turut meletakkan agenda STI sebagai antara teras penting pembangunan negara menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang memberi fokus kepada pemerkasaan penyelidikan, pembangunan teknologi tempatan, pendigitalan industri serta penghasilan bakat berkemahiran tinggi.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan juga mempergiat usaha memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), universiti serta sektor industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersialkan dan memberi manfaat langsung kepada ekonomi serta rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu amat penting khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan MADANI, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan demi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara.
“Justeru itu, tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi,” katanya.




Comments