Berakhir sidang Parlimen sebuah kerajaan lemah tanpa keabsahan



Berakhirnya sidang Parlimen kali ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia menilai prestasi dan kebertanggungjawaban kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibangga-banggakan sebagai terbaik menangani isu-isu rakyat.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya memberi markah buruk kepada kerajaan 'tebuk atap' yang pada realitinya terbukti tidak mampu untuk menterjemahkan tatakelola pentadbiran yang beretika. Begitu juga, kerajaan yang kekurangan majoriti dan tidak ada keabsahan itu tidak berupaya meluluskan lebih banyak Rang Undang-undang (RUU).


Rekod PN, kata Anwar, tercalar pada sesi pembukaan Dewan Rakyat dengan tindakan menukar Speaker di tengah-tengah pandemik Covid 19 yang belum berakhir.


"Tindakan legislatif pertama kerajaan PN saat pandemik Covid 19 adalah menukar Speaker Dewan Rakyat. Ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah di dunia.


"Apa yang mengekori sejurus itu adalah corak dan gaya pentadbiran BN di masa lalu yang mempunyai ciri-ciri tatanan yang tidak cukup sifat dan roh demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.


Berhubung kelulusan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) pula Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan ianya telah terlambat dan tidak banyak membantu rakyat.


"RUU ini sepatutnya dibentangkan lebih awal bagi menampan dampak Covid 19. Kelewatan dan alasan yang diberikan kerajaan PN tidak memberi sebarang makna kepada para pekerja dan keluarga yang memerlukan bantuan dan dukungan yang secukupnya.


"Ia mungkin terlalu lewat jika diambilkira penguncupan KDNK negara pada kadar 17.1% pada suku kedua tahun 2020. Pakatan Harapan (PH) tetap menyokong RUU ini, namun menggesa Kementerian Kewangan untuk menggandakan peruntukan dari RM45 bilion ke RM90 bilion dengan mengambilkira dampak wabak ke atas ekonomi dan warga," katanya.


Walau bagaimanapun, PH menurut Anwar, boleh dinilai sebagai blok yang mengutamakan rakyat apabila menyokong kelulusan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. RUU yang dimulakan oleh kerajaan PH itu mengenakan hukuman yang keras ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan kecederaan dan kematian.


Manakala RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan PH terdahulu berhubung pelantikan Ketua Pembangkang ke dalam Majlis Keselamatan Negara bagi mengelak sebarang salahguna kuasa ditolak oleh kerajaan PN.


"Kerajaan PN juga telah menarik balik dua rang undang-undang yakni RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019," kata Anwar lagi.


Penolakan itu, menurut Anwar telah mensia-siakan usaha reformasi sistem dan menidakkan peluang ke arah menjadikan pasukan polis lebih dihormati dan berintegriti.


Begitu juga RUU yang mahu menghadkan tempoh penggal jawatan Perdana Menteri sehingga dua penggal, kata Anwar, sewajarnya mendapat tempat untuk disokong oleh kerajaan PN yang mendakwa ingin membawa pembaharuan kepada rakyat.




PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio