Susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa usul penahanan 28 hari tanpa bicara Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang ditolak pembangkang di Dewan Rakyat tempoh hari akan dibentangkan semula, Pakatan Harapan (PH) akan menemui menteri berkenaan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang tidak bersetuju dengan Sosma yang terlalu keras dan akan berbincang untuk melunakkannya jika kerajaan memerlukan sokongan pembangkang.
"Sosma ini saya akan sampaikan kepada Menteri Dalam Negeri kerana beberapa peruntukan itu terlalu ketat.
"Soal kuasa lawan pengganas, jaga keselamatan semua orang sokong. Jangan bawa isu kita tak sokong. Tetapi undang undang yang terlalu keras boleh disalahguna.
"Saya boleh panjangkan hal ini kerana saya ada pengalaman menemui mereka sebahagiannya di Penjara Sungai Buloh. Kalau dia kesalahannya terlibat dalam bom itu soal lain, tetapi kadang kala kesalahannya hanya pakai baju ISIS umpamanya, takkan 4 tahun kena penjara," kata Anwar.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan pembangkang akan menemui Hamzah Zainuddin dan membincangkan pemindaan beberapa perkara sebelum usul Sosma berkenaan diluluskan dengan sokongan PH.
Jika tiada persetujuan dicapai maka pembangkang, katanya akan tetap menolak menyokong Sosma.
"Saya minta supaya Menteri Hamzah berunding dulu, tengok beberapa peruntukan. Kalau tidak kita tetap akan membantah.
"Kita kena lihat. Dari dulu kita tidak setuju Sosma. Belanjawan (kita boleh) bincang, ada penyesuaian kita sokong," kata Anwar lagi.
Pada 23 Mac lalu, kerajaan gagal dalam sesi pengundian meminta penyambungan pemakaian Seksyen 4(5) Sosma untuk 5 tahun ke hadapan apabila pembangkang menentang usul berkenaan dalam undi belah bahagi. Hanya 85 suara menyokong manakala 86 suara pembangkang menentang.
Comments