Pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan hampir RM150 juta untuk membeli dua ruang niaga di Berjaya Times Square bagi menempatkan peniaga Bumiputera mengejutkan banyak pihak.
Bukan sahaja amaun yang terlibat sangat tinggi namun apakah terdapat kesesuaian untuk menempatkan peniaga bumiputera di kawasan itu ketika kompleks berkenaan kekurangan pengunjung berhadapan wabak Covid 19 yang belum berakhir?
Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, biarpun rakyat tidak mempersoalkan tindakan DBKL membantu peniaga Bumiputera namun dengan membeli hartanah dalam waktu perniagaan di kesemua pusat membeli-belah terjejas teruk serta proses pemulihan mungkin mengambil masa setahun atau lebih bagi perniagaan kembali beroperasi seperti sediakala, jelas tindakan tersebut amat kurang sesuai.
"Pembelian hartanah di Berjaya Times berkemungkinan memberi kebaikan kepada pemilik asal hartanah kerana kebanyakan penyewa telah meninggalkan lot-lot kedai. Namun masih diragui bahawa pembelian ini mampu membantu peniaga Bumiputera "Sudah terdapat banyak pusat membeli-belah yang dimiliki oleh pihak DBKL dan juga pihak Majlis Perbandaran yang tidak dimanfaatkan. Sebagai contoh, hampir 70% lot-lot kedai di Keramat Mall tidak beroperasi. Sama juga di sektor swasta, sudah terdapat lebihan pasaran hartanah untuk pusat membeli-belah walaupun sebelum pandemik Covid 19. "Oleh sebab itu, kajian kebolehlaksanaan yang lebih ketat harus dijalankan untuk sebarang pelaburan yang melibatkan kos sangat tinggi. Adakah kajian telah dijalankan untuk pembelian di Berjaya Times Square? "Adakah kita masih mampu untuk menanggung satu lagi pembelian 'projek gajah putih' di waktu ekonomi sangat teruk dan dijangka menjadi lebih sukar pada masa akan datang?" soal beliau dalam satu kenyataan. Menurut Dr Tan, lebih baik dana yang begitu besar digunakan untuk membantu beribu-ribu peniaga Bumiputera kecil dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Kuala Lumpur yang menghadapi masalah kewangan sangat ekstrim kerana kurangnya perniagaan dan juga peguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Katanya lagi, akses untuk mendapatkan fasiliti bantuan istimewa yang ditawarkan oleh pihak bank dan pinjaman mikro dari TEKUN juga tidak mudah. Kebanyakan peniaga Bumiputera, menurut beliau, gagal kerana tidak layak atas banyak sebab. Sekiranya mereka dibantu oleh DBKL maka kesannya lebih baik berbanding membeli lot kedai di kawasan perniagaan mewah. "Operator peniagaan mikro seperti kedai dobi, runcit, syarikat pembersihan, salun, butik, restoran dan banyak lagi menghadapi tekanan membayar sewa bulanan, bil utiliti, gaji, bayaran pembekal dan faedah pinjaman setiap bulan. Banyak peniaga-peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka. "Dianggarkan sebanyak 40% peniagaan mikro dan pengusaha PKS di negara ini terpaksa menutup operasi sekiranya pandemik ini berlanjutan lebih lama. "Oleh itu, RM150 juta lebih bagus dimanfaatkan kepada keperluan peniaga Bumiputera bagi membantu keberlangsungan mereka di waktu yang sukar ini. Keutamaan kepada DBKL pada waktu sekarang adalah untuk menyelamatkan perniagaan dan bukan melancarkan projek pelaburan baharu," katanya lagi. Untuk rekod, Berjaya Times Square di Kuala Lumpur merupakan bangunan yang mengandungi pusat beli-belah yang besar serta dua buah hotel bertaraf lima bintang. Bangunan ini dimiliki oleh jutawan Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan Chee Yioun.
Comments