Belanjawan 2027: STR, SARA diperkukuh bantu B40, M40
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 1 min read

Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini dijangka memberi tumpuan usaha kepada menangani isu sosioekonomi kumpulan B40 dan M40.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar), penekanan itu wajar memandangkan kedua-dua golongan berkenaan terkesan secara langsung oleh tekanan ekonomi dan cabaran kos sara hidup.
"Belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri nanti akan menjadi satu lagi Belanjawan yang lebih inklusif, lebih dekat dengan rakyat dan sedikit sebanyak dapat menyelesaikan beberapa masalah serta isu yang timbul.
"Buat masa ini, pihak yang terlibat masih mengadakan sesi libat urus secara langsung dengan semua pemegang taruh bagi memuktamadkan belanjawan," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Keris Adat Tradisional Kebangsaan anjuran Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia cawangan Perak dan Perhimpunan Silat Anak-Anak Gayong Perak di Tapak Perkhemahan Teluk Batik, di Lumut pada Ahad.
Kerajaan MADANI dijangka akan terus memperkukuh inisiatif sedia ada bagi meringankan beban kewangan isi rumah.
Selain itu pertimbangan turut diberikan terhadap cadangan untuk menambah baik inisiatif sedia ada serta memperkenalkan bentuk sokongan kewangan lain bagi meringankan beban isi rumah berpendapatan sederhana.
"Program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diteruskan, dan kita menunggu pengumuman lanjut daripada Menteri Kewangan.
"Keutamaan kerajaan juga kekal tertumpu kepada memastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kukuh bagi menjamin kelancaran pelaksanaan dasar-dasar negara," tambahnya.




Comments