top of page

Belanjawan 2027: Pastikan bantuan RM16 bilion sampai kepada B40, M40

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
3 min read
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George

Pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 perlu memastikan bantuan kewangan dan pelbagai inisiatif yang diumumkan benar-benar sampai kepada golongan B40 dan M40 bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, kekuatan sesebuah belanjawan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan, sebaliknya sejauh mana dasar yang dirancang mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.


Beliau berkata, peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan rawatan terus memberi tekanan kepada keluarga berpendapatan rendah, manakala golongan pertengahan turut berdepan komitmen kewangan yang semakin meningkat.


"Bagi saya, kekuatan sesebuah belanjawan bukan sekadar terletak pada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana langkah yang dirancang mampu mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, Gunaraj menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion pada 2027, selain bantuan SARA sehingga RM150 sebulan kepada penerima STR yang layak.


Beliau turut menyifatkan pemberian SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, termasuk golongan M40 yang layak, sebagai langkah membantu mengurangkan perbelanjaan harian.


"Bagi keluarga yang setiap bulan perlu mengira perbelanjaan dengan teliti, bantuan seperti ini boleh memberikan sedikit ruang untuk bernafas.


"Namun, yang lebih penting ialah memastikan bantuan berkenaan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya dan dapat dimanfaatkan untuk keperluan asas keluarga," katanya.


Perlepasan cukai individu disambut baik


Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan meningkatkan ambang pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta cadangan pengurangan kadar cukai pendapatan bagi kumpulan berpendapatan sederhana tertentu.


Menurutnya, langkah berkenaan berpotensi memberikan kelegaan kepada golongan bekerja yang perlu mengimbangi pendapatan dengan komitmen kewangan keluarga.


Gunaraj turut menyifatkan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 sebagai langkah penting untuk meningkatkan pendapatan pekerja, namun pelaksanaannya perlu disokong peningkatan produktiviti, kelangsungan perniagaan dan peluang kemajuan kerjaya.


Sebagai ADN Sentosa, beliau berkata pendidikan, kemahiran, pekerjaan dan keusahawanan perlu terus diberi perhatian bagi memastikan masyarakat India tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.


Katanya, sokongan berterusan kepada sekolah Tamil penting bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran kondusif, manakala pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu diperkukuh untuk melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang diperlukan industri.


Pada masa sama, beliau menggesa supaya peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro diberikan akses lebih baik kepada pembiayaan, latihan serta peluang ekonomi yang bersesuaian.


"Kemajuan masyarakat India tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bantuan yang diterima semata-mata, tetapi juga melalui kemampuan keluarga mencapai kestabilan kewangan, perniagaan berkembang dan anak-anak muda memperoleh peluang untuk membina masa depan yang lebih baik," katanya.


Beliau berkata, prinsip Malaysia MADANI perlu diterjemahkan melalui peluang yang adil kepada setiap komuniti tanpa mengira latar belakang untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan menikmati hasil kemajuan ekonomi.


Belanjawan dinilai berdasarkan perubahan dirasai


Gunaraj turut menegaskan bahawa keberkesanan Belanjawan 2027 bergantung pada pelaksanaan yang cekap, telus dan mengikut jadual, selain memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan sasaran tanpa kerenah birokrasi yang tidak perlu.


"Saya berharap Belanjawan 2027 dinilai secara membina, dengan mengiktiraf inisiatif yang berpotensi membantu rakyat sambil terus memberikan pandangan bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.


"Kemajuan negara tidak seharusnya hanya dilihat melalui pertumbuhan ekonomi dan angka pelaburan. Ukuran yang lebih bermakna ialah apabila keluarga mampu menjalani kehidupan dengan lebih terjamin, pekerja memperoleh pendapatan yang munasabah, perniagaan kecil berpeluang berkembang dan anak-anak muda mempunyai harapan yang lebih cerah untuk masa depan mereka," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI atas usaha berterusan untuk meringankan beban rakyat serta membina Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page