top of page

Belanjawan 2027: Fadhlina cadang Program Kasih MADANI diperluas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Ketua Wanita KEADILAN, Datuk Seri Fadhlina Sidek (gambar) mencadangkan agar Program Kasih MADANI diperluas menerusi Belanjawan 2027.


Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja bagi membolehkan lebih ramai pengasuh menerima latihan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan martabat profesion tersebut, malah memastikan lebih ramai wanita bekerja mendapat sokongan dalam aspek penjagaan dan keselamatan anak.


"Pengasuh yang mempunyai latihan, yang mempunyai penguasaan ilmu pengasuhan ini sangat penting dalam masyarakat. Bukan sahaja ia memberikan ruang kepada ibu-ibu yang bekerja untuk fokus kepada pekerjaan mereka kerana isu keselamatan anak-anak telah diambil alih oleh pengasuh yang terlatih.


"Tidak cukup setakat 1,000 orang yang kita ada setakat ini, dan program ini mesti ditambah dan diperbaiki, serta diberikan pengkhususan dalam komuniti ini dari semasa ke semasa," katanya dipetik laporan media.


Beliau yang juga Menteri Pendidikan ditemui selepas merasmikan Gala Pesona Kasih MADANI di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pada Sabtu.


Fadhlina sementara itu memaklumkan, beliau bakal mengemukakan cadangan supaya program berkenaan dimasukkan dalam Belanjawan 2027.


Kasih MADANI diuruskan Merdeka Center dengan sokongan Kementerian Kewangan melalui Yayasan Sime Darby bertujuan memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia melalui pemerkasaan pengasuh di rumah dan komuniti.


Kira-kira 1,000 pengasuh di Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang telah mendapat manfaat menerusi inisiatif Kasih MADANI sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas.


Sementara itu menurut Fadhlina, perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya terhenti di peringkat pengasuhan, sebaliknya perlu diteruskan apabila mereka memasuki alam persekolahan menerusi pelaksanaan dasar perlindungan kanak-kanak secara menyeluruh.


"Sebab itu di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan) kita teruskan dengan Dasar Perlindungan Kanak-kanak di peringkat sekolah. Jadi, semua orang ada tanggungjawab, daripada peringkat anak-anak di bawah jagaan pengasuh sehingga ke sekolah. Semua terlibat dengan perlindungan kanak-kanak," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page