Belanjawan 2026: Langkah berani tolak naik cukai, tambah bantuan rakyat
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 2 min read

Wanita KEADILAN menyifatkan Belanjawan MADANI 2026 yang bertemakan “Belanjawan Rakyat” sebagai bukti nyata komitmen kerajaan untuk memulangkan hasil negara kepada rakyat melalui pengurusan fiskal yang berdisiplin, cekap dan berintegriti.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, belanjawan keempat Kerajaan MADANI ini menyerlahkan keberanian politik dan ketegasan moral dalam memastikan hasil negara digunakan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat tanpa menambah beban cukai baharu.
"Kerajaan MADANI dengan beraninya menolak jalan mudah mengenakan cukai tambahan bagi membiayai perbelanjaan prasarana dan bantuan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya, menurut Ginie Lim, kerajaan memilih langkah reformasi tatakelola termasuk penyasaran subsidi dan pemotongan 20 peratus gaji semua anggota Jemaah Menteri bagi menutup ruang ketirisan dan menambah kecekapan fiskal negara.

"Hasilnya, peruntukan bagi sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, kebajikan, mobiliti dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dipertingkatkan," ujarnya.
Selain itu, katanya, golongan rentan termasuk Orang Asli, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan turut mendapat perhatian melalui pelbagai inisiatif baharu seperti Mahkamah Buruh dan Kanak-kanak Bergerak dengan kemudahan bilik saksi mesra kanak-kanak.
Termasuk, Bantuan Khas Kewangan (BKK) turut diumumkan bagi menghargai penjawat awam dan pesara kerajaan iaitu sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, serta RM250 kepada pesara dan veteran berpencen mahupun tidak berpencen.
Wanika KEADILAN juga, kata Ginie Lim, menyambut baik agenda pemberdayaan wanita yang menjadi keutamaan dalam Belanjawan MADANI 2026.
"Langkah seperti pembiayaan bank berjumlah RM270 juta bagi menyokong usahawan PMKS wanita, Peluang Kedua kepada 3,000 bekas banduan wanita, serta peluasan pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 untuk yuran taman asuhan dan pusat jagaan berdaftar membuktikan komitmen kerajaan terhadap keseimbangan sosial dan ekonomi gender," katanya.
Tegas Ginie Lim, belanjawan kali ini mencerminkan tekad politik Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan nasional yang menaikkan siling ekonomi negara, memperkukuh institusi dan menambah baik kehidupan rakyat.
"Belanjawan MADANI 2026 menyerlahkan tekad politik Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional menaikkan siling ekonomi, memperkukuh tatakelola, serta mengurangkan beban hidup rakyat melalui peningkatan kecekapan fiskal dan keberanian moral dalam membuat keputusan," kata beliau lagi.









Comments