top of page

Belanjawan 2026 bukan 'bunga bunga pilihanraya', tetapi ubat penstabil ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 11
  • 2 min read

ree

Belanjawan MADANI 2026 yang dibentang oleh Perdana Menteri semalam bukanlah gula gula politik untuk persediaan pilihan raya umum awal sebaliknya merupakan rangka ekonomi komprehensif bagi menghadapi suasana ekonomi global yang tidak menentu.


Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz menegaskan belanjawan itu dirancang bertujuan menstabilkan semula kedudukan fiskal negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Oleh itu, beliau mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, yang menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai suatu permulaan tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-13.


"Ini bukan belanjawan politik, tapi belanjawan pemulihan ekonomi rakyat, dibina atas data, bukan drama," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Syam Ghaz, Belanjawan MADANI Keempat bertemakan “Belanjawan Rakyat” itu menonjolkan keberanian politik dan disiplin fiskal, bukan janji manis sempena pilihanraya seperti didakwa pembangkang Pas-PN.


"Kalau nak sembang bab ekonomi, elok nasihat dulu empat negeri di bawah Pas — Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis — yang masih bergantung pada bantuan pusat sampai hari ini," ujar beliau.

Mohd Hisyamuddin Ghazali
Mohd Hisyamuddin Ghazali

Aktivis itu menegaskan, angka rasmi sepanjang 2025 menunjukkan kerajaan telah mengurus kewangan dengan berhemat dan berfokus kepada rakyat, tidak berlaku pemborosan sebagaimana digambarkan.


Manakala peruntukan RM470 bilion dalam Belanjawan 2026 meliputi pelaburan GLC dan GLIC dan bukan perbelanjaan semberono.


Defisit fiskal 2026 pula menurun ke 3.5% KDNK, menunjukkan disiplin fiskal kukuh di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal. Pertumbuhan ekonomi 4.0–4.5%, antara tertinggi di ASEAN walaupun pasaran global perlahan.


Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan subsidi pertanian sebanyak RM2.62 bilion, tertinggi dalam sejarah bagi membantu pesawah dan nelayan.


"STR dan SARA pula diperuntukkan RM15 bilion, memberi manfaat terus kepada sembilan juta rakyat B40 dan M40," katanya.


Syam Ghaz juga menyenaraikan beberapa “Wow Factor” yang menjadi tumpuan rakyat dalam belanjawan kali ini seperti PTPTN percuma untuk graduan kelas pertama dan pelajar miskin; Sumbangan khas RM500 kepada 70,000 guru KAFA, imam, bilal dan siak; Kenaikan gaji RM18 bilion kepada penjawat awam serta bantuan khas kepada pesara dan veteran; Bantuan SARA khas RM100 kepada 22 juta rakyat menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina; dan RM3.1 bilion bantuan JKM kepada 560,000 penerima.


Selain itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion untuk TVET dan latihan digital, termasuk peluang kepada 10,000 pelajar pondok mengikuti latihan kecerdasan buatan (AI), serta RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan hospital dan klinik.


"Duit (peruntukan) bukan jatuh ke tangan kroni tapi terus masuk poket rakyat," tegas Syam Ghaz.


Katanya, hasil daripada reformasi fiskal dan penjimatan subsidi berjumlah RM15.5 bilion, inflasi negara kekal rendah pada kadar 1.9 peratus, manakala nisbah hutang kepada KDNK menurun kepada 61.1 peratus pada 2026.


Justeru, Syam Ghaz menolak ungkapan 'pakar ekonomi' Pas, Syahir yang menyifatkan belanjawan dibentangkan semalam sebagai sekadar menabur ‘bunga-bunga’ menjelang pilihanraya.


"Belanjawan MADANI 2026 bukanlah gula-gula pilihanraya tapi rangka kerja ekonomi paling menyeluruh selepas pandemik Covid 19.


"Inilah belanjawan berani, realistik dan berpihak kepada rakyat," ujar beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page