top of page

Belanjawan 2026: B40 terus jadi keutamaan Kerajaan Madani

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 16
  • 2 min read

ree

Oleh: Habsul Ahmad


Belanjawan Madani 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan Madani untuk terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40).


Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Johor, Hami Astafi Ab Halim (gambar) berkata, langkah utama yang diumumkan ialah peningkatan bantuan tunai langsung kepada isi rumah B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termasuk kepada individu bujang dengan gaji bawah RM2,500 dalam bentuk kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


"Fokus utama kerajaan adalah memastikan tiada rakyat yang ketinggalan. Golongan B40 mesti diberi peluang untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pendidikan dan bantuan bersasar.


"Belanjawan ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan berpihak kepada rakyat, khususnya B40, tanpa mengorbankan kestabilan ekonomi," kata Hami kepada Suara Keadilan.


Selain itu katanya, kerajaan membuktikan keperihatinan apabila memperluas Program Payung Rahmah dengan peruntukan RM600 juta bagi pelaksanaan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Program ini memberi tumpuan kepada bantuan bakul makanan, baucar makanan asas Rahmah serta penjualan barangan harga kawalan di kawasan berpendapatan rendah.


"Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan pendekatan tidak memperkenalkan cukai baharu serta tidak menaikkan cukai sedia ada, sebaliknya menambah hasil melalui penjimatan perbelanjaan, digitalisasi kutipan hasil, dan pelaburan strategik.


"Ini memberi peluang kepada golongan B40 untuk mengekalkan pendapatan sedia ada selain tambahan melalui pelbagai bantuan langsung," ujarnya.


Manakala dalam aspek pendidikan kata Hami, impian untuk melihat pendidikan percuma ke menara gading dilaksanakan di negara ini masih cerah apabila kerajaan mengumumkan bantuan “pendidikan percuma” kepada 5,800 keluarga melalui inisiatif khas bantuan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


"Langkah ini bukan sahaja meringankan beban hutang pendidikan, tetapi juga memberi harapan baharu kepada ribuan keluarga B40 untuk keluar daripada tekanan ekonomi.


"Ini bukan sekadar soal diskaun atau bantuan kewangan, tetapi mesej bahawa kerajaan mahu anak muda menamatkan pengajian tanpa dibebani hutang ketika memulakan kehidupan di alam pekerjaan," kata Hami lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page