Belanjawan 2026: Aspek keselamatan sekolah jadi keutamaan KPM
- Suara Keadilan

- Sep 30, 2025
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan aspek keselamatan sekolah akan menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan 10 Oktober ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, selain isu keselamatan, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sokongan antibuli, agenda digital, pelaksanaan Kurikulum 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu.
"Belanjawan ini bersifat menyeluruh dengan sasaran jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara,
"Ada beberapa perkara penting termasuk isu TVET yang kita akan beri tumpuan secara lebih bersasar dengan mengambil kira kepentingan, keperluan, keutamaan serta hala tuju negara ketika ini," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya hadir melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Putrajaya pada Isnin.
DMK 2025 merupakan inisiatif nasional membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat serta melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga 20 teratas negara pembaca dunia menjelang 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina memaklumkan KPM mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden seorang pelajar maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai.
Komitmen itu dinyatakan Fadhlina ketika menziarahi keluarga Allahyarham Abdul Fattah Khairol Rizal di kediaman mereka pada Ahad.
"Kementerian akan menggerakkan siasatan dalaman dengan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Setiap aspek akan disiasat sepenuhnya dan tiada kompromi terhadap perkara yang berkaitan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah," katanya.









Comments