
Pasca pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu, kritikan yang paling banyak kedengaran ialah dari manakah negara akan memperoleh hasil sebanyak RM393.8 bilion untuk dibelanjakan sebagaimana diumumkan.
Bagi Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Kerajaan Madani tidak akan menghadapi masalah untuk mengumpulkan jumlah tersebut dalam belanjawan yang disifatkan terbesar dalam sejarah kerana tidak lagi melakukan korupsi seperti kerajaan yang lalu.
Katanya, belanja pembangunan juga tidak terlalu tinggi kerana kerajaan tidak mahu membazir membina menara tinggi atau projek mewah lainnya.
"PM kali ini lebih menjurus kepada kegunaan untuk memastikan negara ini menjamin kebajikan rakyat. Hal ini boleh dilakukan dengan tatakelola baik dan tidak korup, tidak ada sakau.
"Inilah antara yang membolehkan bajet tertinggi dalam sejarah ini dibuat. Manakala defisit kalau kita tengok, ianya menurun dari kadar pada 2021, 2023. Pada 2024 ini kepada 4.3%.
"Kalau kita jaga negara ini dalam konsep Madani yang sebenar, ia tak akan luput (tidak mencukupi) daripada hasil kita dapat," katanya dalam forum "Borak Dahsyat: Belanjawan 2024" malam tadi.
Abdullah Sani yang juga Pengerusi TEKUN Nasional itu yakin belanjawan kali ini bukan sahaja akan mampu memenuhi keperluan rakyat marhaen malah akan menurunkan hutang negara dengan polisi berjimat cermat PMX.
Mengenai persoalan apakah PM Datuk Seri Anwar tidak akan meninggalkan legasi pemerintahan kerana tidak membina projek mega sebaliknya menumpukan aspek pendidikan, ekonomi dan kesihatan, Abdullah Sani berkata, hal itu menunjukkan Kerajaan Madani lebih mengutamakan rakyat daripada selera atau nafsu pemimpin.
"Saya beri contoh pendidikan. Itu diberi keutamaan. Ini adalah langkah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan kesihatan yang baik.
"20 tahun dulu Sekolah Agama Rakyat (SAR) misalnya PM Mahathir bekukan bantuan. Penantian itu merentasi 33 bulan PN memerintah, yang jadi menteri agama dari Pas, apa dia buat? Apakah dia mencadangkan SAR diberi peruntukan? Sekarang Datuk Seri Anwar yang dikatakan Islam terhakis, Melayu ditindas bila jadi PM, dialah yang beri peruntukan SAR.
"Itu bezanya konsep Madani dan tidak mahu berlaku kezaliman.
"Sebab itu kita tengok Datuk Seri Anwar tidak ada bajet untuk mendirikan bangunan mewah untuk satu kelompok sahaja (menzalimi rakyat marhaen). Tetapi gerai rakyat dicantikkan, infrastruktur dijaga.
"Modal berniaga pun RM330 juta diperuntukkan kepada TEKUN. Dan saya berjanji akan santuni semua mereka (bakal peminjam) yang memenuhi kelayakan," katanya lagi.
Kommentarer