
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menganggap Belanjawan 2021 adalah berat sebelah dan berasaskan perkauman.
Beliau berkata perkara tersebut boleh dibuktikan menerusi peruntukan yang diagihkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Ahli Parlimen Pekan ada menyatakan soal perlu satu bajet yang inklusif dan menitik berat soal pemerkasaan rakyat tanpa mengira kaum.
"Terdapat kebimbangan peruntukan kali ini berasaskan perkauman, misalnya RM11.1 bilion untuk pembangunan bumiputera, tetapi hanya RM177 juta untuk kaum Cina dan RM100 juta untuk kaum India.
"Ini satu kebimbangan sebab dalam keadaan kita bergulat dengan krisis ini, perlunya kesatuan yang mantap, perlu ada satu tindakan lebih baik kerana yang miskin tetap miskin, tidak kira kaum dan bangsa," katanya di Dewan Rakyat.
Persoalan Shamsul itu dipersetujui oleh Najib yang turut mempersoalkan Belanjawan 2021.
"Saya setuju bahawa Belanjawan perlu bersifat inklusif dan adil, tetapi salah satu yang jadi masalah adalah kedudukan peruntukan.
"Ahli Parlimen Port Dickson semalam pun ada sebut peruntukan Belanjawan 2021 terletak di merata tempat. Sebagai bekas menteri, saya pun terkeliru, format akan datang perlu lebih jelas, supaya lebih mudah faham.
"Kita tak nak kata ada peruntukan dikurangkan, tetapi rupa-rupanya ada di tempat lain dan kita tidak tahu di mana. Kita nak Belanjawan lebih teratur dan lebih sistematik," katanya.