top of page

Belanjawan 2021 banyak kelemahan, PN utamakan politik lebih dari rakyat


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih gagal menyediakan belanjawan yang benar-benar diperlukan rakyat.


Beliau berkata, meskipun Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat, masih terdapat banyak perkara dan butir-butir yang tidak dihiraukan oleh kerajaan PN.


"Atas sebab ini juga pembangkang sepakat untuk membantah belanjawan tersebut.


"Belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan, dan ini telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.


"Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat," katanya dalam kenyataan.


Anwar turut menyenaraikan beberapa isu peruntukan yang gagal ditangani dengan baik oleh PN sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa.


"Semasa perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai ahli Parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak.


"Terutamanya isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP, peruntukan yang melampau tinggi sebanyak RM40.5 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukkan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit," katanya.


Pada masa sama, Anwar meluahkan rasa kesal terhadap sikap ahli Parlimen yang tidak tetap dengan pendirian apabila bertindak memberi sokongan kepada Belanjawan 2021.


"Oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, maka terdapat sejumlah ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini, meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN.


"Adalah dikesalkan juga tatkala terdapat beberapa orang ahli Parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut," katanya.


Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menganggap prestasi ekonomi negara berada pada tahap yang membimbangkan.


"Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara, dan tahap tatakelola yang membimbangkan. Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.


"Prestasi dan markah tatakelola Malaysia turut melemah pada tahun ini, seperti yang dilaporkan Bank Dunia, dan dijangka aspek lain seperti indeks rasuah dan kebebasan media akan turut merudum.



"Keyakinan daripada para pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan, terutamanya sektor ekonomi dan pembangunan," katanya.


Justeru, Anwar berpandangan segala inisiatif yang dilaksanakan oleh PN selama ini membuktikan mereka gagal menjadi pemerintah negara yang berkesan.


Malah, beliau berpendapat salah satu sebabnya adalah kerana ketidakstabilan kerajaan PN ketika ini.


"Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru tentang bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.


"Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.


"Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page