top of page

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Datuk Fahmi (kanan) bersama Pengerusi Majlis Media Malaysia, Tan Sri Nallini Pathmanathan
Datuk Fahmi (kanan) bersama Pengerusi Majlis Media Malaysia, Tan Sri Nallini Pathmanathan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Nallini Pathmanathan atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) sambil menzahirkan harapan agar badan itu terus memperjuangkan kebebasan media secara bertanggungjawab serta memperkukuh etika kewartawanan negara.


Beliau berkata, MMM mempunyai peranan penting dalam mengangkat suara industri media agar kekal mampan dan dipercayai, selain menjadi platform yang memperkukuh amalan kewartawanan beretika di Malaysia.


"Tahniah Tan Sri Nallini Pathmanathan atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia. Semoga MMM terus perjuangkan kebebasan media secara bertanggungjawab, memperkukuh etika kewartawanan serta memainkan peranan penting dalam mengangkat suara industri media agar terus mampan lagi dipercayai," kata Fahmi menerusi hantaran di media sosial hari ini.


Datuk Fahmi mengalu alukan TS P Nallini sebagai Pengerusi MMM
Datuk Fahmi mengalu alukan TS P Nallini sebagai Pengerusi MMM

Terdahulu, MMM mengumumkan pelantikan Nallini sebagai pengerusi badan kawal selia kendiri media itu selepas mendapat persetujuan sebulat suara Ahli Lembaga dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lalu.


Dalam kenyataannya, MMM menyifatkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan majlis berkenaan sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam.


Nallini, 65, bersara daripada badan kehakiman pada Februari lalu selepas 18 tahun berkhidmat termasuk di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan negara serta menghasilkan kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk dalam kes-kes penting melibatkan undang-undang perlembagaan dan komersial.


Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia, selain pernah berkhidmat sebagai peguam di Tetuan Skrine selama lebih dua dekad sebelum menyertai badan kehakiman.


Kini, beliau berkhidmat sebagai penimbang tara dan pengantara serta memegang beberapa jawatan antarabangsa termasuk Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa dan hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar serta Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.


"Pengalaman luas dan komitmen beliau terhadap kebebasan institusi, kedaulatan undang-undang serta akses kepada keadilan menjadikan beliau calon paling sesuai untuk memimpin majlis itu dalam mempromosikan standard kewartawanan, etika dan kebebasan media," kata MMM.


Di bawah kepimpinan Nallini, MMM berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, melaksanakan Kod Tatakelakuan, membangunkan sistem aduan yang adil dan diyakini serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan media dalam sebuah negara demokratik.


"Pelantikan itu dibuat pada waktu yang amat penting ketika industri media berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu serta keperluan untuk membina semula kepercayaan awam terhadap media," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page