Bekalan ternakan untuk ibadah korban mencukupi - KPKM
- Suara Keadilan
- Jun 3
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negera bagi tahun ini adalah mencukupi dan dapat memenuhi permintaan.
Kementerian dalam kenyataan berkata keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah sejumlah 38,804 ekor manakala kambing (30,167 ekor).
"Mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, anggaran permintaan lembu/kerbau untuk korban adalah dijangka sebanyak 34,451 ekor manakala permintaan bagi kambing/bebiri sebanyak 22,453 ekor.
"Justeru itu, jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini," kata kenyataan itu.
Kementerian itu berkata berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), stok bekalan lembu atau kerbau tempatan sehingga Mac lalu berjumlah 35,581 ekor manakala bekalan diimport bagi tempoh sama sebanyak 3,223 ekor.
Bagi kambing/bebiri, stok bekalan tempatan sehingga Mac adalah 26,845 ekor manakala bekalan import sebanyak 3,322 ekor, jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, kementerian berkata sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
"DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 40 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban," ujarnya.
Tambahnya pihak terbabit perlu membuat permohonan mendapatkan permit penyembelihan luar bagi melaksanakan ibadah korban seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain
"Orang ramai juga digalakkan untuk merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang telah dikeluarkan oleh DVS sebagai panduan asas dalam melaksanakan aktiviti penyembelihan ternakan korban," ujarnya.
Comments