Bekalan air di sebahagian kawasan negeri Selangor yang terganggu akibat penggantian paip dan alat ganti di Loji Rawatan Air SSP 1dijangka pulih mengikut jadual pada pukul 5.00 petang ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar, dua dari kiri) berkata demikian ketika melakukan lawatan ke loji berkenaan malam tadi.
"Lori Rawatan Air Fasa 1 Sungai Selangor, melibatkan 9 kerja utama dan 9 kerja hiliran.
"Secara puratanya keseluruhan kerja-kerja loji rawatan utama telah selesai. Paling lewat pukul 8.15 malam tadi dan ini bermakna kita mendahului sekitar 2 jam 45 minit dari sasaran dalam kerja utama.
"Kerja-kerja hiliran 90% selesai mengikut jadual, sebahagiannya lewat akibat keadaan persekitaran. Jangkaan awal kita akan mula mengagihkan (bekalan air) sekitar jam 5.00 pagi.
"Di sini telah selesai 8.15 malam, maka proses (rawatan air) bermula dan lazimnya ia akan bermula dalam 5 - 6 jam.
"Bermakna penyambungan air akan boleh disalurkan sekitar pukul 3.00 pagi. Pemulihan (sepenuhnya) pada esok jam 5 petang dan ada kemungkinan akan lebih awal," katanya di lokasi.
Menurut beliau antara bahan yang diganti adalah injap, flow meter serta paip-paip utama di dalam LRA yang telah berusia lebih dua dekad.
"Saya gembira kerja-kerja lebih awal dari unjuran. Pihak Air Selangor yang menyusun hal ini dan esok kita lihat bagaimana ia berjalan di peringkat akar umbi (akaun pengguna).
"Tadi saya lihat paip besar (yang diganti) dan itulah contoh, sebahagiannya mengalami kebocoran, sebahagiannya telah melalui proses kimia akibat proses rawatan air dan kebanyakannya berusia 27 tahun," katanya.
Sementara itu MB berkata, pihak Air Selangor akan menggerakkan tangki-tangki air statik untuk mengagihkan air ke kawasan-kawasan perumahan seperti pangsapuri bertingkat tinggi bagi kemudahan pengguna air.
Kerja-kerja penggantian aset air di loji rawatan perlu dilakukan secara berkala bagi mengelakkan kebocoran serius dan malah letupan yang menyebabkan terputusnya bekalan air lebih panjang, sebagaimana terjadi pada tahun lalu.
Comments