Bebas hukuman: Reformasi bermakna tidak campur tangan urusan mahkamah
- Suara Keadilan
- Jun 27
- 2 min read

Sesiapa sahaja yang diputuskan dilepas atau dibebas oleh mahkamah pada era Kerajaan Madani merupakan sepenuhnya keputusan mahkamah, tanpa campur tangan eksekutif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak sewajarnya beliau dikecam atau sebaliknya, sekiranya kawan atau lawan politiknya diberikan DNAA oleh mahkamah.
Menurut beliau, reformasi undang undang dan kehakiman dilakukan secara total dan bermakna pihak eksekutif tidak sama sekali mencampuri urusan mahkamah.
"Reformasi adalah satu keperluan jika kita mahu menyelamatkan masyarakat dan melonjakkan ekonomi menerusi pertumbuhan serta tadbir urus yang baik. Namun, laluannya bukan mudah dan penuh liku.
"Hari ini, apabila mahkamah memutuskan DNAA dalam satu kes, Perdana Menteri diserang oleh satu pihak. Minggu berikutnya apabila kes lain menerima keputusan serupa, pihak yang satu lagi pula mengkritik.
"Kedua-duanya mendakwa menjunjung kebebasan kehakiman tetapi masing-masing mahukan keputusan yang selari dengan kehendak sendiri," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas Anwar, hal itu merupakan satu cabaran berat beliau menjadikan reformasi sesuatu yang berjaya dilaksanakan di negara ini.
Ujarnya, dalam apa jua keadaan Kerajaan Madani tidak akan berpatah kembali kepada sistem lama yang penuh kontroversi dan dipertikaikan keadilannya.
"Saya tidak boleh, dan tidak akan mengarah hakim membuat keputusan mengikut tekanan politik.
"Kebebasan kehakiman menuntut kita menerima keputusan walaupun ada yang tidak kita persetujui.
"Inilah hakikat pengasingan kuasa. Ia bukan sekadar gagasan Barat, tetapi turut berakar dalam turath dan tradisi intelektual (Islam) kita sendiri," katanya lagi.
Terdahulu, saingan politik Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari perikatan pembangkang yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Bagaimanapun, hal itu menerima kritikan oleh penyokong kerajaan yang berpandangan kes korupsi perlu dihukum.
Sebelum itu, pada pertengahan bulan ini bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd. Keputusan itu dikritik oleh pihak pembangkang.
Comments