Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik usaha penganjuran Bazar Ramadan Rahmah yang diusulkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi memastikan cadangan memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan dapat direalisasikan, satu perbincangan dengan KPDN akan diadakan dalam masa terdekat.
"Kita akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama KPDN mengenai pendekatan ini dalam masa terdekat kerana pelaksanaannya dilakukan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan kelulusan permit bazar dan sebagainya,” katanya.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perbandaran Hijau (GUF) 2023 Sempena Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan di Kinta Riverfront Ipoh semalam.
Pada 22 Februari lepas, Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya bakal mengadakan sesi libat urus bersama PBT dan pemain industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.
Untuk itu jelasnya, beberapa lokasi strategik yang telah dikenal pasti oleh pihak kementerian.
Sementara itu Akmal berkata, pihak KPKT turut mengalu-alukan lebih banyak lokasi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah diadakan agar inisiatif itu dapat memanfaatkan lebih ramai rakyat terutama golongan B40.
Comments