Bazar RAHMAH babit 64 lokasi di seluruh negara - Fuziah
- Suara Keadilan
- Mar 15, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan sebanyak 64 lokasi di seluruh negara menganjurkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) sepanjang Ramadan ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, semua peniaga BRR digalakkan untuk menawarkan Menu RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan menu tambahan yang mereka tawarkan kepada para pengunjung.
"Kriteria BRR adalah kekurang-kurangnya 40% peniaga di satu-satu lokasi BRR menawarkan Menu RAHMAH, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.
"Program BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, BRR turut menawarkan inisiatif penggunaan e-wallet RM20 seorang ditawarkan kepada 1000 pengunjung terawal pada satu-satu masa di lokasi BRR terpilih bagi memberikan manfaat kepada para peniaga dan para pengunjung.
Selain itu, katanya lima lokasi BPR diadakan di Putrajaya turut melibatkan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi menyantuni penduduk sekitar sepanjang Ramadan ini.
"KPDN merakamkan setinggi penghargaan kepada PPj di atas komitmen yang sangat baik sepanjang menjayakan inisiatif BRR bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Putrajaya di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini," ujarnya.
Untuk rekod, Bazar Ramadan RAHMAH merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Program Payung RAHMAH MADANI dengan objektif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pilihan hidangan berbuka puasa pada harga yang berpatutan.
Kejayaan siri pertama BRR yang telah dilancarkan pada 27 Mac 2023 lalu berjaya mengumpulkan seramai 1,014 peniaga menyediakan Menu RAHMAH di 41 lokasi BRR seluruh negara.
Oleh itu, BRR tahun ini merancang untuk menambah bilangan lokasi atas permintaan orang ramai dan di masa yang sama suntikan insentif tanpa tunai diberikan kepada peniaga dan pengunjung BRR di seluruh negara.
Comments