top of page

Batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong silap besar, PM Mahiaddin perlu letak jawatan


Pembatalan Ordinan Darurat yang mengejutkan Dewan Rakyat semalam yang diumumkan oleh Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan merupakan satu kesilapan prosedur dan pentadbiran yang amat besar.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat yang dibuat dengan nama Yang di-Pertuan Agong wajib dimansuhkan atas nama Yang di-Pertuan Agong juga, bukan oleh kabinet Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin.


"Pembatalan Ordinan Darurat ini terletak dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.


"Permasyhuran Proklamasi Darurat dan semua Ordinan Darurat sebelum ini dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya kenapakah tidak ada permasyhuran pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong?


"Saya berharap pada sesi petang semalam, PM selaku Ketua Jemaah Menteri akan menjawab dan memberi penjelasan tentang kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan itu. Tetapi PM tidak muncul di Dewan Rakyat pada sesi petang. Mengapa pengumuman pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang penting itu tidak dilakukan sendiri oleh PM? Jika tiada penafian daripada PM, ia membawa makna kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan itu adalah benar.


"Soalan selanjutnya, adakah Agong telah dimaklumkan oleh PM akan hasrat Kabinet untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat?


"Adakah PM telah menasihati Agong supaya membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?


"Kalau jawapannya Ya, persoalannya adakah Agong telah menandatangani sebarang dokumen atau surat memberi perkenan terhadap pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Jelas Hassan, sekiranya benar Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 12 Januari 2021 itu telah dimansuhkan pada 21 Julai lalu maka rakyat seluruh negara yang ditangkap, dilokap, dihantar ke penjara, disaman, dikompaun, dikurantin, dan segala macam sekatan serta larangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ordinan Darurat selepas 21 Julai, perlu mendapat penjelasan dari PM dan Kabinetnya, apakah tindakan ke atas mereka itu sah.


"Jika sejak 21 Julai Ordinan Darurat telah dibatalkan tetapi dirahsiakan pembatalannya, apakah punca kuasa yang ada pada Kerajaan Perikatan Nasional untuk menjalankan pentadbirannya dari tempoh 21 Julai 2021 sehingga 1 Ogos 2021?


"Apakah implikasi undang-undang terhadap tindakan, perlakuan, keputusan yang kerajaan atau pegawai-pegawainya, kakitangan awam, atau agensi-agensi kerajaan yang diambil di bawah Ordinan-Ordinan Darurat sejak 21 Julai itu hingga hari ini, tetapi hakikat sebenarnya Ordinan itu telah dibatalkan? Adakah tindakan kerajaan itu sah? Ini semua menutut jawapan daripada PM.


"Kalau sesungguhnya benar semua Ordinan Darurat itu telah dibatalkan sejak 21 Julai 2021, maka saya ingin bertanya kenapa tidak ada dokumen pembatalan ordinan-ordinan darurat dibentangkan di Parlimen?" tanyanya lagi.


Bagi Hassan, isu pembatalan Ordinan Darurat merupakan hal yang amat besar. Darurat juga menyangkut isu teras dalam Perlembagaan yang telah disumpah oleh setiap Menteri dan Ahli Parlimen untuk menjaga dan mempertahankannya.


Namun, kata Hassan, jika Menteri Takiyuddin sengaja menimbulkan soal penamatan darurat untuk menghindari lebih banyak soalan berhubung sidang Parlimen semalam maka beliau telah mengelirukan dewan dan perlu meletakkan jawatan kerana pemansuhan Ordinan Darurat bukan soal 'main-main'.


"Jika Takiyuddin didapati mengelirukan Parlimen, maka beliau perlulah mengambil tindakan terhormat dan bermaruah dengan meletakkan jawatan. Jika enggan maka, paling tidak de facto Menteri Undang-Undang itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diambil tindakan.


"Sebaliknya jika apa yang dikatakan oleh Takiyuddin itu benar, maka ia adalah satu kesilapan besar Jemaah Menteri dan PM di bawah undang-undang Perlembagaan.


"Dan sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak dimaklumkan, tidak dirundingi, tidak diminta perkenan Baginda untuk pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, maka ini suatu perbuatan pelanggaran Perlembagaan oleh PM dan seluruh Jemaah Menteri," kata Hassan.


Justeru, seandainya benar PM dan jemaah menteri telah melakukan pelanggaran Perlembagaan maka cara terbaik bagi PM dan kabinetnya adalah meletak jawatan beramai-ramai bagi mengambil tanggungjawab di atas kesilapan tersebut.


"Jika itu yang sebenarnya berlaku, maka di bawah prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri, jalan terhormat dan bermaruah yang perlu diambil oleh mereka tidak lain dan tidak bukan, hanya satu, iaitu meletakkan jawatan," katanya lagi.


0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page