top of page

Baru nak bersuara, Hishammuddin tunjuk keprihatinan palsu


Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan tindakan Hishammuddin Tun Hussien mengulas perkembangan negara khususnya berkaitan polemik pengurusan COVID-19 dan ketidaktentuan politik negara sekadar menunjukkan keprihatinan palsu.


Beliau turut menempelak penulisan terkini Hishamuddin berjudul “Melangkaui Politik dan Pandemik” yang menggesa agar desakan Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi serta tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.


'Hishammuddin wajar bersuara dalam mesyuarat Kabinet di atas kapasiti beliau selaku Menteri Kabinent bahawa penutupan Parlimen juga tidak boleh menjadi alat untuk mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah.


"Terimalah hakikat bahawa atas prinsip kebertanggungjawaban bersama "collective responsibility", kelemahan kerajaan mengurus pandemik ini adalah sumbangan tidak rasmi beliau secara tidak langsung.


"Hanya bersuara selepas 450 hari pandemik membelenggu negara menunjukkan satu keprihatinan palsu, yang sebenarnya juga satu bentuk agenda tersembunyi demi nafsu politik beliau yang konon khabarnya calon Perdana Menteri dalam penantian," katanya.


Pada masa sama, Shamsul menganggap selain dari kepentingan Hishamuddin untuk dilihat kekal relevan dalam pentas politik negara, kenyataannya bolehlah ditafsirkan bahawa kemelut politik yang sedang melanda Kerajaan Perikatan Nasional adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dan istilah #KerajaanGagal semakin menampakkan kesahihannya.


Shamsul yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mempersoalkan niat Hishammuddin yang meminta ahli-ahli Parlimen mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19.


"Apakah beliau tidak sedar bahawa gesaan ini datang dari hampir kesemua parti-parti politik dominan dalam negara termasuk Umno?


"Sudah pasti isunya bukan perihal tembolok kekuasaan: sebaliknya perihal Parlimen sebagai ruang suara rakyat disuarakan melalui Ahli-ahli Parlimen.


"Kelemahan pengurusan pandemik, pelaksanaan program Prihatin Rakyat yang tiada hala tuju, rakyat yang semakin tertekan dek kehilangan pekerjaan dan pendapatan, proses vaksinasi yang lembab, inilah yang hendak diketengahkan oleh kami Ahli-ahli Parlimen.


"Hangatnya media sosial dengan #KerajaanGagal dan #KerajaanBodoh kelihatan tidak diambil endah walaupun itu datang daripada nurani dan suara rakyat. Maka, Parlimenlah ruang yang wajar dimanfaatkan," katanya.


Malah, Shamsul berpandangan bahawa Hishammuddin tidak seharusnya sekadar mengkritik kerajaan serta cuba menggesa bahawa berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sebaliknya Pelan Pemulihan Negara wajar disokong semua pihak.


"Sebagai anggota Kabinet Perikatan Nasional, sewajarnya beliau menumpukan usaha untuk memastikan bagaimana kerajaan ini tidak gagal sebagaimana yang semakin terbukti sekarang.


"Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, wajar dipersoalkan kerana ia tidak menggambarkan keseriusan kerajaan untuk menguruskan pandemik Covid-19 ini," katanya.


Justeru, katanya, Hishammuddin wajar kembali menilai kembali kapasitinya dalam kerajaan ketika ini.


"Menulis panjang-panjang hanya membuktikan bahawa beliau sedang menangguk di air keruh.


"Buktikanlah bahawa kerajaan ini masih mempunyai hati nurani untuk membela rakyat, bukannya mempolitikkan pandemik demi mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah.


"Di sebalik keluh kesah beliau melalui beberapa tulisan beliau seminggu dua ini, elok beliau mulakan dengan meletakkan jawatan untuk memperlihatkan jiwa besar beliau sekaligus boleh mengurangkan beban kewangan negara," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page