Barat menuju keruntuhan tamadun, Malaysia perlu memposisikan diri
- Suara Keadilan

- Jan 15
- 2 min read

Siri ceramah terbaharu yang disampaikan oleh bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway, telah menarik kehadiran luar biasa, didorong oleh personaliti beliau yang lantang serta pengalaman politiknya yang luas khususnya berkaitan isu Timur Tengah dan Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin (gambar), berkata hubungan erat Galloway dengan bekas Ketua Kerajaan Palestin, Yasser Arafat dan kepimpinannya dalam memahami perjuangan Palestin menjadikan tokoh itu sentiasa berada dalam perhatian Israel serta sekutu Barat.
"Beliau menceritakan pengalaman ngeri di tangan pihak berkuasa Britain di Lapangan Terbang Gatwick, di mana beliau dan isterinya disoal siasat selama kira-kira 10 jam.
"Beliau tidak dibenarkan berdiam diri dan akan didakwa jika enggan menjawab soalan. Isterinya pula disoal mengapa dia mengecat kuku jarinya dengan bentuk dan warna bendera Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, Galloway turut mendedahkan insiden penahanan seorang wanita Britain berusia 90 tahun yang memegang sepanduk bertulis “Palestinian Authority”, yang berpotensi dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
"Inilah undang undang Britain yang menjadi model bagi undang-undang sivil dan Parlimen Malaysia, dengan kepercayaan bahawa ia mewakili sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua rakyatnya. Pengaruh Zionis yang kuat jelas telah meninggalkan kesan besar dalam masyarakat Britain hari ini," katanya.
Raja Bahrin turut mengaitkan situasi di Britain dengan Amerika Syarikat yang didakwa semakin autoritarian, termasuk tindakan keras terhadap rakyatnya sendiri atas nama penguatkuasaan imigresen, sehingga mengorbankan nyawa seorang ibu warga Amerika berusia 37 tahun.
Menurut beliau, Barat yang diterajui Amerika Syarikat dan Britain telah lama kehilangan kedudukan moral untuk menasihati dunia lain, termasuk Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.
"Negara-negara lain di dunia semakin cepat beralih kepada BRICS dari segi ekonomi, menjauhi daripada dominasi cekaman Barat.
"Setelah kehilangan dominasi ekonomi dan kini juga kedudukan moral, Barat kini terumbang-ambing dalam kekacauan dan anarki untuk mencari relevan dalam dunia baharu yang bersifat multipolar ini.
"Ini bukan lagi senario lama “Clash of Civilisations” dikatakan oleh Samuel Huntington," tegasnya.
Raja Bahrin menyifatkan dunia kini berada dalam fasa “New World Disorder”, di mana kuasa-kuasa Barat yang terdesak bertindak agresif tanpa menghormati undang-undang antarabangsa, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Dunia sedang menjauhi Tamadun barat dengan Bukina Faso memimpin benua Afrika, Turkiye - Arab Saudi dan Pakistan membentuk axis kerjasama dan negara negara Asia bersama negara China membentuk kumpulan mereka sendiri tampa Barat.
"Iran tidak lagi dilihat sebagai kuasa didorong keganasan selepas serangan Israel dan AS atas Iran," katanya.
Sehubungan itu, Raja Bahrin menegaskan Malaysia perlu memposisikan diri secara strategik bagi mengelakkan kesan negatif ketidaktentuan global.
"Malaysia mesti memposisi diri dalam kumpulan maju BRICS dan ASEAN untuk menjauhi kesan negatif menjelang zaman Keruntuhan Tamadun Barat yang bergolak," katanya lagi.









Comments