Bantuan SARA RM100 dividen sosial hasil tadbir urus cekap - Karen Kasturi
- Suara Keadilan
- Jul 27
- 2 min read

Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini buat semua rakyat dewasa merupakan skim dividen sosial hasil tadbir urus kewangan negara yang cekap.
Menurut Timbalan Bendahari Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi (gambar), bantuan itu menunjukkan bagaimana hasil kekuatan fiskal Kerajaan MADANI telah dikembalikan terus kepada rakyat untuk meningkatkan kesejahteraan.
"Berdasarkan pengalaman saya dalam bidang kewangan dan pemantauan fiskal, saya melihat secara langsung bagaimana ruang fiskal yang dijana secara bertanggungjawab melalui peluasan SST, rasionalisasi subsidi diesel, dan penstrukturan semula subsidi kini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk perbelanjaan langsung dan bersasar kepada rakyat.
"Saya melihat bantuan tunai RM100 secara one-off melalui SARA kepada semua warganegara dewasa sebagai dividen sosial hasil tadbir urus yang cekap dan bukti bahawa pendekatan ekonomi MADANI mengutamakan rakyat dalam dasar negara.
"Bantuan tunai ini diberikan kepada rakyat tanpa perlu menambah beban hutang negara dan ini tidak pernah berlaku dalam skala sebegini sebelum ini.
"Bantuan tunai kepada 22 juta rakyat juga akan memberi kesan limpahan (multiplier effect) kepada sektor peruncitan, logistik dan makanan asas sekaligus memperkasa daya tahan ekonomi domestik," kata Karen dalam satu kenyataan.
Selain itu, Exco Wanita KEADILAN Pusat itu menambah pengumuman penurunan harga petrol RON95 kepada RM 1.99 seliter pula mencerminkan keberanian dan kecekapan fiskal kerajaan sehingga boleh menampung lebih banyak subsidi bahan api rakyat.
"Ini bermaksud subsidi disusun semula secara bersasar, membolehkan rakyat terus menikmati penurunan harga sambil menghalang ketirisan kepada warga asing dan kumpulan tidak layak. Ini merupakan pengurusan subsidi progresif dan adil.
"Dengan gabungan bantuan tunai SARA dan STR yang mencecah RM15 bilion, ini merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara bagi bantuan langsung kepada rakyat, satu pencapaian yang membuktikan kebertanggungjawaban fiskal dan keadilan sosial boleh digerakkan secara seiring," katanya.
Di peringkat akar umbi, kata beliau, impak segera program seperti Sejati MADANI, Jualan Rahmah MADANI (RM600 juta) dan penangguhan kenaikan tol (RM500 juta) terhadap kehidupan rakyat biasa akan mampu mengurangkan tekanan tekanan kos sara hidup.
"Oleh itu saya menyokong penuh strategi fiskal Kerajaan MADANI. Ia membuktikan bahawa apabila dana negara diurus dengan amanah dan bijaksana, hasilnya dapat dikembalikan terus kepada rakyat tanpa membebankan masa depan ekonomi negara.
"Komitmen Kerajaan MADANI dalam menyeimbangkan keperluan rakyat dan disiplin fiskal negara dalam hal ini wajar diberi penghargaan dan sokongan padu oleh rakyat," katanya lagi.
Comments