Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk yang tidak berpencen akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) pada 17 April ini
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, bantuan itu akan melibatkan lebih 200,000 veteran dan mereka akan menerima bayaran RM350 setiap seorang.
Jelas Adly, sumbangan yang diberikan itu membuktikan kebajikan golongan veteran khususnya mereka yang tidak berpencen mendapat perhatian Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita mempunyai veteran tidak berpencen sekitar 79,000 orang manakala mereka yang berpencen lebih 100,000 orang dan kesemua mereka akan mendapat manfaat ini yang diumumkan Perdana Menteri pada Belanjawan 2023 Feb lepas," katanya sambil berharap sumbangan itu dapat mengurangkan beban kewangan membuat persiapan sempena Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan turut meraikan anggota tentera yang bertugas di luar negara seperti di Lebanon sempena Hari Raya akan datang.
Beliau berkata pelbagai sumbangan dan keperluan menyambut hari raya akan disalurkan kepada golongan berkenaan yang terlibat dalam misi keamanan di luar negara.
"Ada sebahagian kepimpinan Kementerian Pertahanan akan menyambut Aidilfitri bersama dengan mereka yang tidak dapat pulang beraya kerana tugas menjaga keamanan antaranya pasukan Malbatt (Malaysian Battalion) di Lebanon," katanya.
Comments