Banjir di Johor yang kian reda memerlukan bantuan para sukarelawan untuk turun membantu operasi pasca banjir.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet tengah hari tadi.
"Saya ingin menyeru rakan NGO, universiti, dan sukarelawan, juga dari jabatan kerajaan untuk turun dalam tempoh singkat ini membantu (operasi) pasca banjir kerana beban mereka (mangsa) tersangat besar untuk dikendalikan oleh jentera di Johor.
"Saya telah hubungi Menteri Besar Selangor (yang berpengalaman dalam pasca banjir) untuk membantu, tetapi pasca banjir ini memerlukan sukarelawan sangat ramai dan keperluan asas yang lain. Misalnya mereka perlukan kemudahan seperti water jet dan sebagainya yang perlu ditambah kerajaan," katanya.
Suasana banjir semakin baik dengan jumlah yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor telah menurun daripada 82,831 orang sebelum ini kepada 26,879 mangsa yang masih tinggal.
Anwar turut berkata kabinet memutuskan untuk melaksanakan beberapa projek segera dengan persetujuan kerajaan Johor sebaik sahaja banjir surut.
"Kabinet telah memberi keutamaan untuk memutuskan semua jentera kementerian melibatkan diri dalam program, projek pasca banjir.
"Ada peruntukan tambahan RM 150 juta dari Kementerian Kewangan yang disegerakan dan dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid yang turun mengenal pasti beberapa projek dengan MB dan Kerajaan Negeri Johor," katanya lagi.
Anwar juga memaklumkan setakat ini 16,167 ketua isi rumah telah menerima RM1000 bantuan wang ehsan Kerajaan Persekutuan.
Comments