Bantuan Bencana Aceh: YARA sampaikan penghargaan kepada PM Anwar
- Redzuan Shamsudin

- Apr 19
- 1 min read

Yayasan Advokasi Rakyat Aceh (YARA) menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan yang disalurkan kepada mangsa bencana hidrometeorologi atau gelongsoran tanah di wilayah Sumatera, khususnya di Aceh.
Penghargaan tersebut disampaikan oleh Ketua YARA, Bapak Safaruddin, melalui wakil kepada Perdana Menteri, Kapt. (B) Zulkifli Othman, dalam satu pertemuan di Banda Aceh selepas lawatan ke Pelabuhan Krueng Geukuh bersama Ketua Yayasan Aceh Meugah Sejahtera, Syardani Sayrif atau lebih dikenali sebagai Tgk Jamaika.
Safaruddin berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar dalam membantu rakyat Aceh yang terjejas akibat bencana.
"Kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengirimkan bantuannya secara peribadi melalui utusannya, Kapt Zulkifli dengan mitra penerima Yayasan Aceh Meugah Sejahtera yang diwakili Tgk Jamaika," kata Safaruddin dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Zulkifli yang menerima penghargaan berkenaan memaklumkan bahawa amanah tersebut akan disampaikan terus kepada Perdana Menteri sebaik tiba di Kuala Lumpur.
"Saya sangat berterima kasih atas penghargaan ini dan amanah ini akan saya sampaikan langsung kepada PM Anwar Ibrahim setibanya kami di Kuala Lumpur," katanya.
Terhadap bencana yang terjadi di Aceh, ujar Zulkifli, Datuk Seri Anwar memberikan perhatian mendalam dan berniat akan berkunjung ke Aceh apabila tiba masanya.




Comments