Bantuan Awal Persekolahan: 'Kebaikan Kerajaan MADANI, diserang pembangkang'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketika ruang media sosial dipenuhi naratif negatif dan kritikan berterusan terhadap Kerajaan MADANI, hakikatnya terdapat pelbagai inisiatif dan dasar pro-rakyat yang telah dilaksanakan dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat antaranya dalam sektor pendidikan namun kurang diangkat dan ditularkan.
Bagi mantan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) , Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan kerajaan kepada semua murid termasuk pelajar Tingkatan Enam sewajarnya dijadikan satu bentuk ‘hebahan’ kepada masyarakat sebagai bukti inisiatif positif kerajaan yang memberikan manfaat kepada rakyat.
BPA, katanya, telah 'ditimbus' oleh serangan tohmahan pembangkang sehingga rakyat seolah olah melupakannya.
"Ini (BPA) adalah salah satu daripada produk yang perlu dimainkan (disebar luas) terutama sekali oleh Kementerian Komunikasi..Saya melihat bahawa isu ini (BPA) kebanyakan rakyat merasai kenikmatannya terutama kepada mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.
"Kalau kita nak tengok dokongan Datuk Seri Anwar terhadap golongan pelajar, cuba lihat betul-betul sejarahnya. Ia bermula daripada pemakaian tudung untuk anak-anak kecil. Bermula dari zaman siapa? Zaman Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Pelajaran (1986).
"Saya ingat sebelum itu tudung dianggap sebagai yang diasingkan dalam naluri pelajar-pelajar, tetapi apabila Datuk Seri Anwar melangkah setapak, keberaniannya itu menzahirkan dasar baharu yang mencerminkan kemuliaan dan tawaduk kepada Allah, akhirnya bermula episod anak-anak mula memakai tudung," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Real Talk by Amir Hussien: Adakah Kerajaan MADANI gagal? yang disiarkan di platform YouTube.
Menceritakan lebih lanjut, Abdullah Sani yang yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, turut menyentuh silibus Mandi Safar yang ditarik keluar daripada subjek pendidikan ketika Anwar memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.
"Kedua kita kena ingat balik sejarah siapa yang mengeluarkan silibus Mandi Safar daripada subjek pendidikan? Anwar Ibrahim (keluarkan).
"Kita lihat pada waktu itu, berleluasa dipanggil mandi safar itu sebahagian daripada adat dan budaya kita, Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Pelajaran telah mengharamkan subjek itu sebagai sebahagian daripada pengetahuan anak-anak kita
"Seperti mana yang telah dibuat pada hari ini, sudah menjadi satu kebudayaan kepada anak-anak kita (iaitu untuk) memakai tudung. Mandi safar pula bukan lagi budaya kepercayaan yang kita kena lakukan," ujar beliau lagi.





