Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dibentang awal tahun depan
- Suara Keadilan
- 37 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijangka melalui proses penambahbaikan pada awal tahun hadapan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat (whistleblower) dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik status sebagai pemberi maklumat.
"Kita ada menteri yang dipertanggungjawabkan dan sangat tegas serta cekap dalam hal ini.
"Saya percaya, undang-undang itu, kalau hendak diperkemaskan dan dibentang akan dilakukan awal tahun depan," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit sama aa kerajaan berhasrat untuk menggubal undang-undang berkaitan whistleblower supaya ia tidak disalahgunakan.
Menjelaskan lebih terperinci, Anwar turut menyatakan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan perkara berkenaan jika wujud kelompongan terhadap akta tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan bahawa hak perlindungan terhadap whistleblower sememangnya terjamin.
"Melindungi maknanya bukan sahaja mereka itu tidak diambil tindakan, tetapi juga dikawal keselamatan mereka dan keluarga supaya jangan dianiaya oleh penjenayah.
"Tetapi ada kekeliruan dalam negara kita.. sekarang ini penyamun, perasuah pun dianggap whistleblower dan dijadikan hero. Ini masalahnya.
"Kalau seseorang itu curi RM1 bilion, dia kata dia akan beri kerjasama dengan SPRM untuk mendapatkan kembali RM100, itu bukan whistleblower, itu penyamun tegar," katanya.





